Sistem HoME+ boleh pantau lebih baik warga emas yang tinggal sendirian
Warga emas yang tinggal sendirian kini boleh dipantau dengan lebih baik lagi, melalui sistem interkom baharu yang dikendalikan oleh Palang Merah Singapura.
Dengan cara itu, mereka boleh mendapat bantuan dengan lebih cepat, tanpa perlu menggunakan telefon bimbit.
Sistem baharu yang dipertingkat itu dipanggil Pemantauan Rumah dan Eldercare, atau HoME+ 2.0.
Ia terdiri daripada interkom, butang pani dan sensor 3D yang mengesan pergerakan dan kehadiran manusia.
Jika bantuan diperlukan, terdapat kira-kira 160 anggota terlatih masyarakat yang akan memberi bantuan sepanjang masa.
Lebih daripada 1,200 warga emas kini melanggani perkhidmatan tersebut, yang berharga dari S$50 sebulan sebelum subsidi.
"Apa yang kami perasan adalah kadangkala apabila tiada aktiviti, kami tidak dapat berhubung dengan pelanggan kami. Jadi daripada menunggu anggota bertindak masyarakat turun dalam masa satu jam, interkom sehala akan dapat membantu warga emas dengan mendapatkan ejen pusat panggilan untuk memulakan panggilan.
"Supaya sekurang-kurangnya, jika warga emas meminta bantuan, mereka akan dapat berkomunikasi dan kemudian memastikan bahawa respons itu ada," kata Penolong Ketua, Khidmat Warga Emas, Dampingan Masyarakat, Palang Merah Singapura, Alan Phuang.
Palang Merah Singapura juga melancarkan program mendekati warga emas yang bertujuan menggalakkan penyertaan aktif dalam masyarakat.
Salah satu caranya ialah melalui kesukarelawanan warga emas.
Selain peranan penjagaan langsung, mereka juga boleh menyumbang kepakaran profesional mereka seperti perakaunan atau latihan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.