Skip to main content

Singapura

Sistem ETA bas tidak dapat diakses dek 'isu teknikal'

Anggaran Waktu Membaca:
   Sistem ETA bas tidak dapat diakses dek 'isu teknikal'

Bas-bas awam di pusat perhentian bas. (Gambar fail: Facebook/LTA)

Diterbitkan : 14 Jul 2026 07:54AM Dikemas Kini : 14 Jul 2026 07:55AM
SINGAPURA: Sistem Anggaran Masa Ketibaan (ETA) bas milik Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) tidak dapat diakses menerusi aplikasi pengangkutan MyTransport.SG pada pagi Selasa (14 Jul). Para pengguna pengangkutan awam tidak dapat melihat anggaran waktu ketibaan bas pada aplikasi berkenaan.

"Kami sedang mengalami masalah teknikal bagi paparan waktu ketibaan bas. Bagaimanapun, perkhidmatan bas beroperasi seperti biasa," menurut pemberitahuan di aplikasi itu pada pukul 6.15 pagi.

"Kami memohon maaf atas kesulitan yang berlaku dan sedang berusaha untuk menyelesaikan masalah ini."

Pada Mei lalu, Pemangku Menteri Pengangkutan Jeffrey Siow menyatakan bahawa sistem ETA bas LTA sedang dinaik taraf sebagai sebahagian daripada langkah-langkah untuk meminimumkan gangguan daripada berulang seperti yang berlaku pada April lalu.

Waktu ketibaan bas yang tidak tepat serta masa menunggu yang lama telah dipaparkan di perhentian bas dan aplikasi pengangkutan pada 18 April selepas kabel rangkaian gentian optik rosak semasa kerja-kerja binaan dijalankan bagi projek Koridor Utara-Selatan.
Related article image
Satu notifikasi pada aplikasi MyTransport.SG menyatakan bahawa Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) sedang mengalami "masalah teknikal" pada paparan waktu ketibaan bas pada 14 Julai 2026.
Asia Piling Co, sub-kontraktor bagi projek Koridor Utara-Selatan, mengalami kerosakan pada beberapa kabel gentian optik pada 18 April semasa menjalankan kerja-kerja menanam cerucuk. Salah satu kabel yang rosak itu merupakan sambungan fizikal utama yang menghantar data ke server ETA.

Sistem ETA tersebut sudah dipulihkan kepada fungsi penuh selepas kabel gentian optik itu dibaiki, kata Encik Siow, sambil menambah bahawa siasatan LTA mendapati tiada kerosakan perkakasan atau perisian lain pada sistem ETA berkenaan.

Gangguan pada April lalu terhadap sistem ETA bas LTA berlaku beberapa bulan selepas satu isu berasingan berlaku pada Januari tahun ini, apabila "longgokan memori cache" pada sistem dalam bas menghalang bas daripada menghantar data lokasi ke server pusat, sekali gus menyebabkan waktu ketibaan bas dipaparkan secara tidak tepat.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita