Sistem ETA bas dinaik taraf; sistem baharu akan dilaksana jelang akhir 2027
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) sedang menaik taraf sistem Anggaran Masa Ketibaan Bas (ETA) sebagai sebahagian daripada langkah untuk mengelakkan gangguan berulang seperti yang berlaku bulan lalu, kata Pemangku Menteri Pengangkutan, Jeffrey Siow, pada Rabu (6 Mei).
Sistem Anggaran Masa Ketibaan (ETA) bas di perhentian bas di luar stesen MRT Kovan. (Gambar: CNA/Charmaine Jacob)
Waktu ketibaan bas yang tidak tepat serta masa menunggu yang lama dipaparkan di perhentian bas dan aplikasi pengangkutan pada 18 April selepas kabel rangkaian gentian rosak akibat kerja-kerja binaan bagi projek Koridor Utara-Selatan.
Kabel yang rosak itu juga menyebabkan gangguan perkhidmatan jalur lebar selama hampir 20 jam, menjejas kira-kira 5,000 pengguna di Ang Mo Kio, Bishan, Sengkang dan Punggol.
Menjawab soalan di parlimen daripada Anggota Parlimen (AP) He Ting Ru (WP-Sengkang) dan Mariam Jaafar (PAP-Sembawang), Encik Siow berkata sistem ETA baharu, yang akan dilaksanakan menjelang akhir 2027, akan dihoskan pada platform cloud.
Menurutnya, ini akan meningkatkan daya tahan sistem ETA terhadap kerosakan fizikal pada sambungan data.
Beliau menjelaskan bahawa sistem ETA sedia ada bergantung pada sambungan gentian optik fizikal untuk menghantar maklumat lokasi bas ke pelayan (server) pusat, yang kemudian mengira jangkaan masa ketibaan bas.
“Atas sebab keselamatan data, maklumat lokasi bas dihantar melalui pasangan kabel gentian optik khusus yang disewa secara privet daripada vendor komersial,” kata Encik Siow.
“Secara reka bentuk, jika data tidak dapat dihantar melalui satu kabel, ia akan dialihkan ke kabel yang satu lagi supaya sambungan terus berfungsi.
“Ini menyediakan sandaran terhadap kerosakan fizikal.”
“Namun, tidak semua data berjaya dihantar ke pelayan ketika insiden mula berlaku. Ini menyebabkan prestasi sistem ETA merosot, dengan hanya 70 peratus daripada jumlah ramalan ETA yang dijangka sepanjang hari tersebut.”
Sistem ETA kembali berfungsi sepenuhnya selepas kabel gentian optik dibaiki, katanya, sambil menambah bahawa siasatan LTA tidak menemui sebarang kerosakan hadwe atau sofwe lain dalam sistem tersebut.
Encik Siow berkata LTA masih menyiasat mengapa kabel yang masih berfungsi tidak dapat menyediakan redundansi atau sistem sandaran penuh seperti yang dikehendaki daripada vendor.
Jika Asia Piling didapati bertanggungjawab atas kerosakan kabel rangkaian gentian itu, agensi-agensi mungkin mengambil tindakan undang-undang dan syarikat telekomunikasi juga boleh menuntut ganti rugi.
“Kontraktor dikehendaki mematuhi keperluan agensi utiliti berkaitan apabila bekerja berhampiran perkhidmatan mereka. Sebagai contoh, sebelum kerja dimulakan, kontraktor mesti menjalankan pemetaan utiliti dan mendapatkan kelulusan bertulis daripada agensi utiliti,” kata Encik Siow.
“LTA mengambil tindakan terhadap ketidakpatuhan, yang turut diambil kira dalam penilaian tender pada masa hadapan.”
Gangguan sistem ETA bas LTA pada April berlaku beberapa bulan selepas insiden berasingan pada Januari tahun ini, apabila “pengumpulan memori cache” pada sistem dalam bas menghalang bas daripada menghantar data lokasi ke pelayan pusat, menyebabkan paparan masa ketibaan bas tidak tepat.
Encik Siow berkata gangguan bulan lalu tidak berkaitan dengan insiden pada Januari.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.