Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sistem baru panel suria terapung antara 3 projek tenaga bersih diuji di Pulau Jurong

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sejenis sistem baru panel suria terapung yang dikatakan akan menjadi yang pertama seumpamanya di Singapura akan diuji di Pulau Jurong.

Berbanding panel suria konvensional yang digunakan dalam kawasan air yang lebih tenang seperti kolam air, sistem baru itu direka untuk lebih bertahan apabila dibadai ombak yang lebih kuat serta keadaan laut yang bergelora.

Ini supaya tenaga suria boleh dijana secara terjamin, menurut Keppel Corporation dalam kenyataan media pada Jumaat (15 Jul).

Sistem itu akan diuji oleh anak syarikat Keppel Infrastructure, Keppel Energy Nexus.

Ia antara tiga projek yang diberikan di bawah geran S$6 juta untuk menguji huraian-huraian baru tenaga bersih di Pulau Jurong.

Inisiatif itu akan menyokong cita-cita iklim Singapura untuk mencapai sifar karbon menjelang atau sekitar pertengahan abad, menurut Penguasa Pasaran Tenaga (EMA), JTC dan Enterprise Singapore dalam satu kenyataan media bersama.

"Ia juga akan menyokong visi Pulau Jurong bagi mewujudkan lebih banyak taman tenaga dan kimia yang lebih mampan dan sejajar dengan Pelan Hijau Singapura 2030," tambah mereka.

"Jika ia terbukti dapat berdaya maju secara komersil, projek itu akan diperluaskan dan akan diperluaskan ke lebih banyak syarikat di Pulau Jurong serta syarikat perindustrian lain yang sedang mencari huraian tenaga yang lebih bersih."

PROJEK YANG PELBAGAI

Projek-projek yang dipilih termasuk "beberapa teknologi yang pelbagai" dan sedang diuji buat pertama kali di Pulau Jurong, menurut agensi-agensi itu.

Selain daripada panel suria yang terapung, sebuah sistem lejar secara maya bagi menyokong pengeluaran hidrogen hijau akan dibangunkan oleh Tuas Power dan EDF HQ Singapore.

Ia bertujuan untuk memaparkan konsep yang inovatif dengan menggunakan sistem lejar secara maya untuk menyokong pengeluaran hidrogen hijau sepanjang masa. Kuasanya dijana menggunakan sistem penjanaan tenaga suria di luar tapak.

Jika sistem itu berjaya, ia akan menangani masalah tenaga boleh diperbaharui yang sekejap ada, sekejap tidak ada supaya pengeluaran hidrogen hijau tidak akan bergantung kepada bila adanya tenaga boleh diperbaharui, menurut agensi tersebut.

Satu lagi projek daripada VFlowTech akan menggunakan prasarana sedia ada untuk menggunakan sistem penyimpanan tenaga.

Ketua Eksekutif EMA, Ngiam Shih Chun berkata bahawa teknologi baru dan inovasi tenaga baru adalah penting dalam usaha Singapura untuk mengurangkan karbon disebabkan pilihan tenaga boleh diperbaharui yang terhad di negara ini.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan