Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sisi peribadi, darah seni Fauziah Ahmad Daud disingkap Muzikal Wajah Rahsia Hati

Bagai sirih pulang ke gagang - itulah yang boleh disifatkan tentang kemunculan seniwati Fauziah Ahmad Daud dalam persembahan terbarunya di Singapura pada Sabtu (11 Feb) ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Bagai sirih pulang ke gagang - itulah yang boleh disifatkan tentang kemunculan seniwati Fauziah Ahmad Daud dalam persembahan terbarunya di Singapura pada Sabtu (11 Feb) ini.

Menerusi Muzikal Wajah Rahsia Hati, para peminatnya berpeluang mengenali dengan lebih dekat sisi peribadi seniwati itu dan darah seni yang diwarisi daripada ibu bapanya.

Ia menampilkan perjalanan seni pelakon itu yang bermula di Singapura dan merupakan pementasan pertama seumpamanya.

"Dalam masa empat dekad itu, pelbagai ilmu yang saya dapati dalam kehidupan ini. Yang layak untuk dibukukan sebenarnya. Tetapi kita mengambil pendekatan yang berbeza. Mementaskan kisah hidup Fauziah Ahmad Daud yang dapat ditonton dan dengar daripada saya sendiri," kata Fauziah Ahmad Daud.


Antara persiapan yang dilakukan seniwati berusia 60 tahun itu adalah menjalani latihan vokal dan tarian.

Jika lazimnya, persembahan biopik seperti ini dimainkan oleh pelakon lain, kali ini beliau sendiri akan membawa watak utama.

"Tak ada pelakon lain yang melakonkan, tak ada orang kedua, ketiga. Empunya diri yang akan menceritakan siapa sebenarnya Fauziah Ahmad Daud ini. Dan dalam bentuk nyanyian, lakonan, tarian, bermonolog seorang diri," ujarnya.

Memulakan kerjayanya sebagai pelakon cilik pada 1973, namanya meningkat naik sebagai pelakon, penyanyi, pengacara dan pengarah yang cukup disegani di dalam industri seni.

Filem-filem lakonannya yang masih meninggalkan kesan sehingga ke hari ini termasuklah Azura, Ali Setan dan Suara Kekasih.

Sepanjang dua jam, para penonton dapat mengimbau kenangan manis dengan lakonan dan tarian oleh anak pelakon legenda Ahmad Daud dan Saadiah itu, serta lagu-lagunya yang malar segar seperti 'Wajah Rahsia Hati' dan 'Simfoni Kasih'.

HAZRUL NIZAM, FUAD RAHMAN TURUT JAYAKAN MUZIKAL

Muzikal itu diilhamkan oleh penyampai radio tempatan Hafeez Glamour.

Idea untuk muzikal tersebut pertama kali dibincangkan seawal 2017 lagi.

Namun, Fauziah Ahmad Daud akur terpaksa menolaknya kerana belum bersedia disebabkan pelbagai komitmen ketika itu.

"Pada awal dirisik, saya harus berterus terang dan jujur kepada diri saya, saya belum berani untuk memikul tanggungjawab dan amanah ini. Kerana melaksanakan sesebuah muzikal bukan suatu perkara yang mudah. Lagi-lagi cerita anda sendiri. Saya tidak mahu melakukan muzikal yang asal boleh sahaja kan," jelasnya.

Selain itu, penyanyi tempatan Hazrul Nizam dan Fuad Rahman, juga akan membuat penampilan untuk berduet bersama seniwati yang mesra disapa 'Kak Ogy' itu.

Beliau yang tertawan dengan persembahan mereka sewaktu pertandingan Gegar Vaganza 9 tahun lalu bakal menyanyikan lagu-lagu 'Sandarkan Pada Kenangan' dan 'Rela Menanti' bersama dua bakat tersebut.

"Saya tak sabar untuk membuat persembahan, bergandingan dengan mereka di atas pentas. Bila kita yang lama digandingkan dengan yang baru. Saya yakin pasti akan tercetusnya magis," kata Fauziah, yang pernah menghasilkan tiga buah album antara 1983 dengan 1991.

PELUANG UNTUK KENALI 'KAK OGY' YANG SEBENAR

Singapura juga dipilih sebagai destinasi pertama muzikal itu sebagai mengenang kembali asal usul perjalanan seninya.

"Saya dilahirkan di sini. Saya memulakan kerjaya saya sebagai pelakon kanak-kanak di sini, Hati Batu. Kemudian pada usia 18, saya memulakan kerjaya saya sebagai penyanyi kelab malam di 'Club 392' di sini. Jadi semuanya bermula di sini," kata beliau yang dilahirkan di Hospital Kandang Kerbau dan membesar di kawasan Boon Teck Road.

Ditanya sekiranya muzikal itu akan menjelajah ke Malaysia, Kak Ogy berkata ia bergantung kepada 'apa yang akan terjadi pada 11 Februari ini'.


Beliau yang memang dikenali kerana sikap dan tuturcara yang jujur juga berharap muzikal itu dapat menghakis segala salah tanggapan terhadap dirinya.

"Ramai yang tidak benar-benar mengenali Fauziah Ahmad Daud yang individu. Orang hanya melihat saya sebagai 'Azura' dari filem Azura, 'Asmidah' dari filem Ali Setan dan 'Ayu' dalam Suara Kekasih. Itu adalah watak-watak yang saya lakonkan. Bila saya Fauziah Ahmad Daud, saya tak suka berlakon," jelas Kak Ogy, yang juga pernah menjadi pengadil untuk beberapa program realiti.

Beliau berharap muzikal itu juga dapat memberi inspirasi kepada mereka yang berminat untuk menceburi dunia seni.

Sejauh ini, sebanyak 80 peratus tiket juga habis terjual.

Orang ramai masih boleh mendapatkan tiket-tiket untuk Muzikal Wajah Rahsia Hati yang berlangsung pada Sabtu, 11 Februari ini di Gateway Theatre dari lelaman ticketmaster.sg.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan