Skip to main content

Singapura

Sisa makanan terbiar di luar tong sampah pikat 'tetamu tidak diundang'

Anggaran Waktu Membaca:
Sisa makanan terbiar di luar tong sampah pikat 'tetamu tidak diundang'

(Gambar: Tangkapan skrin video ACRES/Facebook)

SINGAPURA: Sisa makanan yang diletakkan di luar tong sampah 'mengundang' babi hutan ke estet-estet perumahan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Bukit Panjang, menurut Persatuan Kajian dan Pendidikan Keprihatinan Haiwan (ACRES). 

Ketua Pegawai Eksekutif Bersama ACRES Anbarasi Boopal memberitahu Mediacorp bahawa sejak 9 Januari, kumpulan pemuliharaan haiwan itu menerima sebanyak sembilan panggilan daripada orang ramai yang mengatakan mereka ternampak babi hutan yang menggeledah sisa makanan yang ditinggalkan di luar tong-tong sampah di Petir Road, Segar Road dan Pending Road. 

"Berdasarkan rakaman video, kami mendapati sisa makanan sentiasa kelihatan di luar tong-tong sampah itu, yang boleh mengundang haiwan terbiar dan hidupan liar keluar dari habitatnya ke kawasan manusia," katanya sambil menarik perhatian kepada haiwan-haiwan liar yang berkeliaran di kawasan-kawasan yang menghubungkan kawasan tersebut dengan taman-taman semula jadi berhampiran Chestnut dan Dairy Farm.

Pada Isnin (14 Feb), ACRES memuat naik rakaman video ke akaun-akaun media sosialnya yang menunjukkan seekor babi hutan mencari makan di kolong-kolong blok HDB. 

Menurut ACRES, pihaknya juga dimaklumkan tentang kejadian di Petir Road, yang "semakin terbiasa dengan sisa makanan diletakkan di luar tong sampah yang mengundang haiwan liar". 

Menurut Cik Anbarasi, ACRES tidak dimaklumkan tentang perbuatan memberi makanan kepada babi hutan di Petir Road. Beliau turut menarik perhatian kepada perbuatan memberi makanan kepada haiwan-haiwan di tempat yang tidak dapat disahkan di sekitar Bukit Panjang, sambil merujuk kepada rakaman video yang dikongsi kumpulan Facebook, Complaint Singapore pada Oktober tahun lalu. 

Dalam catatan media sosial ACRES, kumpulan tersebut menyifatkan pengurusan sisa sebagai "langkah pertama ke arah kewujudan bersama" antara haiwan dan manusia.

"Untuk mengurangkan akses kepada haiwan liar, kami mendapati sesetengah hartanah memasang tong sampah pada tembok (supaya babi hutan tidak boleh menolaknya ke bawah untuk mendapatkan makanan), atau membuatkan tong sampah itu tidak mudah digeledah oleh monyet dan kera," kata Cik Anbarasi. 

Beliau menarik perhatian bahawa rumah-rumah berhalaman di estet-estet privet boleh memilih untuk menggunakan tali 'bungee' untuk memastikan tong sampah mereka tidak mudah digeledah oleh haiwan liar.

Hakikatnya, menurut Cik Anbarasi, orang ramai perlu bekerjasama dan membuang sisa makanan dan sampah ke dalam tong sampah, sambil menambah bahawa ACRES akan mengadakan rundingan dengan Majlis Bandaran Holland-Bukit Timah minggu depan untuk menghuraikan isu bekernaan. 

Cik Anbarasi juga mengatakan bahawa ACRES menerima sebanyak 23 panggilan daripada orang awam berhubung babi hutan yang menggeledah di tempat buang sampah. 

"Kami bekerja rapat dengan pihak majlis bandaran, yang meningkatkan kekerapan pembersihan sampah. Pasukan Polis Singapura (SPF), ACRES dan Lembaga Taman Negara (NParks) juga sudah memberikan respons kepada beberapa aduan berhubung babi hutan.

"Namun, segelintir penduduk masih tidak membuang sampah dengan betul, yang terus mengundang babi hutan itu. Peristiwa sebegini berlaku antara Disember 2020 hingga Oktober 2021." 

Cik Anbarasi turut menasihatkan orang ramai supaya menjauhi babi hutan jika mereka ternampak haiwan itu dan mengelakkan daripada membuat pergerakan mengejut yang boleh menakutkan haiwan tersebut.

"Pendekatan holistik jangka panjang adalah untuk memberi tumpuan kepada langkah-langkah pengurusan sampah yang betul dan mampan dan pendidikan intensif bagi para penduduk," kata Cik Anbarasi lagi. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita