Skip to main content

Singapura

Sisa dijana SG merosot tahun lalu; kadar kitar semula terendah sejak 2014

Kadar penjanaan sisa Singapura jatuh pada 2024, dengan sisa domestik harian per kapita berkurangan lebih 20 peratus sejak sedekad lalu, menurut statistik terkini yang dikeluarkan oleh Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).

Anggaran Waktu Membaca:
Sisa dijana SG merosot tahun lalu; kadar kitar semula terendah sejak 2014

Seorang individu membuang botol plastik ke dalam tong kitar semula berwarna biru. (Gambar: CNA/Try Sutrisno Foo)

Diterbitkan : 23 Jul 2025 01:56PM Dikemas Kini : 23 Jul 2025 01:57PM
SINGAPURA: Kadar penjanaan sisa Singapura jatuh pada 2024, dengan sisa domestik harian per kapita berkurangan lebih 20 peratus sejak sedekad lalu, menurut statistik terkini yang dikeluarkan oleh Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).

Kadar kitar semula Singapura juga merosot ke paras terendah dalam sedekad pada paras 50 peratus, terutamanya disebabkan oleh kurang sisa yang dijana dalam sektor binaan dan perobohan.

Secara purata, setiap penduduk menjana sekitar 0.85kg sisa domestik setiap hari, turun daripada 0.88kg pada 2023. Sisa domestik dikumpul dari isi rumah dan premis perdagangan seperti rumah kedai, institusi pendidikan dan pusat penjaja.

Sisa harian bukan domestik yang dijana bagi setiap bilion dolar daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) juga turun daripada sekitar 25 tan pada 2023 kepada kira-kira 23 tan pada 2024. Sisa bukan domestik dijana di premis perindustrian dan komersial.

Perangkaan terkini meneruskan trend menurun dalam penjanaan sisa sepanjang sedekad yang lalu, dengan sisa domestik harian per kapita berkurangan lebih 20 peratus dan sisa bukan domestik bagi setiap bilion dolar GDP jatuh lebih 30 peratus.

Semasa merasmikan kemudahan pemprosesan sisa makanan Mottainai Food Tech pada Rabu (23 Jul), Menteri Negara Kanan Kemampanan dan Sekitaran Janil Puthucheary berkata perangkaan itu "memang wajar dipuji".

“Ia mencerminkan bahawa rakyat Singapura, syarikat-syarikat perniagaan sama-sama membuat pilihan yang lebih berhemah untuk menerima pakai amalan alam sekitar yang mampan dalam kehidupan seharian kita, melalui kesan kumulatif pengurangan, penggunaan semula dan kitar semula,” katanya.

KADAR KITAR SEMULA PALING RENDAH DALAM 10 TAHUN

Kadar kitar semula adalah yang terendah dalam tempoh 10 tahun iaitu 50 peratus. Pada 2014, kadar kitar semula ialah 60 peratus.

NEA mengaitkan kemerosotan itu, sebahagian besarnya disebabkan oleh pengurangan sisa binaan dan perobohan serta sanga terpakai, dengan jumlahnya masing-masing turun sebanyak 44 peratus dan 69 peratus.

Memandangkan sisa binaan dan perobohan serta sanga terpakai hampir dikitar semula sepenuhnya, pengurangan kuantiti sisa yang dijana dan seterusnya dikitar semula membawa kepada pengurangan ketara pada kadar kitar semula secara keseluruhannya, menurut NEA.

Sisa binaan dan perobohan yang dijana daripada projek perobohan juga berkurangan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Begitu juga, aktiviti peleburan keluli yang merosot, menyebabkan sanga yang kurang digunakan dijana.

NEA juga melaporkan penurunan 49,000 tan pada jumlah sisa kayu yang dikitar semula, didorong oleh penutupan loji biojisim dan penyenggaraan lanjutan di loji lain. Ini mengurangkan kapasiti pemprosesan sisa kayu jangka pendek Singapura.

Satu lagi penyumbang utama ialah kejatuhan mendadak pada kitar semula kertas - daripada 52 peratus kepada 32 peratus sejak sepuluh tahun lalu. Penurunan itu didorong oleh faktor seperti kos kutipan dan pengangkutan, serta harga komoditi, menurut NEA.

FOKUS KEPADA MAKANAN, KERTAS DAN PLASTIK

Singapura merancang untuk meningkatkan kadar kitar semula keseluruhannya kepada 70 peratus menjelang 2030, selaras dengan Pelan Induk Tanpa Sisa Singapura.

Untuk menyokong matlamat ini, NEA sedang meningkatkan usaha melalui tiga aliran sisa utama - makanan, kertas dan plastik, kerana kategori-kategori ini membentuk sebahagian terbesar sisa yang tidak dikitar semula.

Kadar kitar semula sisa makanan telah meningkat daripada 13 peratus pada 2014 kepada 18 peratus pada 2024.

Sejak Mac 2024, penjana sisa makanan komersial dan perindustrian yang besar telah dikehendaki untuk mengasingkan, merawat dan melaporkan sisa makanan mereka.

Peraturan ini akan diperluaskan kepada pemain sedia ada selepas Kemudahan Pengurusan Sisa Bersepadu siap mulai 2027.

Pada Mac tahun ini, NEA menyokong pembangunan garis panduan untuk pembungkusan e-dagang yang mampan untuk mengurangkan sisa dan menggalakkan kitar semula kertas.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita