Siri forum 'Bersamamu @ the Heartlands' raih 12,000 tontonan online, tarik lebih 400 peserta fizikal
SINGAPURA: Siri forum 'Bersamamu @ Heartlands' berjaya menarik penyertaan lebih 400 individu yang hadir di empat masjid antara 16 Ogos lalu hingga Sabtu (28 Sep).
Empat sesi forum itu diadakan di Masjid An-Nur, Masjid Al-Falah, Masjid Ar-Raudhah dan Masjid Darul Ghufran.
Siri forum tersebut yang dianjurkan bersama oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dan Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) juga mendapat sekitar 12,000 tontonan online menerusi Facebook Live M3 dan masjid-masjid yang terlibat.
Seiringan dengan ulang tahun Bersamamu yang ke-5 tahun ini, sesi forum itu bertujuan untuk meluaskan jangkauannya dalam membimbing pasangan dalam perkahwinan mereka menerusi perbincangan bersama para kaunselor perkahwinan mahupun asatizah.
Ia menggulung usahanya itu dengan forum bertajuk "Bersamamu Selamanya" yang diadakan di Masjid Darul Ghufran pada petang tadi (28 Sep).
SESI TERAKHIR FORUM BERSAMAMU @ THE HEARTLANDS DI MASJID DARUL GHUFRAN
Tajuk itu dibincangkan anggota panel iaitu Pengurus Dakwah Masjid Jamiyah Ar-Rabitah, Ustaz Muhd Nuzhan Abdul Halim, Naib Presiden Kehormat Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) Ustazah Kalthom Muhd Isa dan Ketua Pegawai Agama Masjid Kelompok Barat, Ustaz Khairil Amri Abdul Hamid.
Sesi selama hampir dua jam itu menyentuh tentang amanah, sifat empati serta kesabaran dalam menghadapi ujian-ujian yang para pasangan hadapi serta peranan suami dan isteri dalam menjaga unit keluarga masing-masing.
Selain itu, para hadirin juga dapat bertanya langsung kepada anggota panel sebarang persoalan berkaitan.
Antara soalan yang diajukan ialah "Apakah huraian terbaik untuk pasangan yang sering tidak berbual antara satu sama lain?" dan "Apa pula yang boleh dilakukan pasangan yang tidak mampu untuk mendapatkan khidmat kaunseling?"
Acara itu turut dihadiri Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli.
Semasa ditemui wartawan, Encik Masagos berkata bahawa sambutan menggalakkan bagi acara Forum 'Bersamamu @ the Heartlands' mencerminkan hubungan yang baik antara pasangan dengan Kadi dan Naib Kadi.
Ia juga menurut beliau, cara untuk menunjukkan sokongan untuk pasangan menerusi pelbagai wadah.
"Jelas sekali setiap pasangan walaupun telah menjalani pernikahan dan hidup berkeluarga, kita juga perlu mempertingkatkan ilmu supaya hubungan suami isteri terus kuat. Saya berterima kasih kepada agensi seperti FFL, MSF, Naib Kadi dari ROMM yang selalu menjalankan usaha-usaha seperti forum selama lima minggu ini.
"Ia diadakan secara setempat di masjid-masjid dan online di mana lebih 10,000 yang menonton dan meraih manfaat. Kita akan menjalankan usaha tersebut supaya ada pelbagai wadah supaya pasangan dapat mendapat pandangan, nasihat dan juga kaunseling," ujar Encik Masagos.
NASIHAT BERGUNA BAGI PASANGAN MUDA
Antara pasangan yang meraih manfaat daripada usaha tersebut ialah pasangan Muhammad Alfi Muhammad Ramli, 32 tahun, dan isterinya, Nurul Syafiqah Mohamad Zailani, 30 tahun.
Cik Syafiqah mengatakan bahawa sesi itu membuat mereka lebih muhasabah diri.
"Kita rasa ia meluaskan pandangan kita kerana kita hari-hari bekerja, mungkin terperangkap dalam perkara duniawi. Jadi sesi ini mengingatkan kita bahawa kita perlu muhasabah diri dan selalu bersabar," kata beliau.
Selain itu, nasihat para asatizah tentang komunikasi antara suami dan isteri juga berharga bagi pasangan muda ini.
Encik Alfi berkata: "Ia menyentuh tentang masalah-masalah yang memang dihadapi semua pasangan termasuk kami berdua. Ada juga nasihat-nasihat yang boleh kami gunakan untuk memperkukuhkan hubungan kami. Nasihat berguna adalah komunikasi. Kalau tidak berbual antara sama lain, ini akan membuat suami isteri lebih berjauhan. Jadi pentingnya berkomunikasi untuk tahu bagaimana untuk menjalinkan hubungan yang lebih baik."
"Kami rasa program ini bermanfaat untuk kami dan juga pasangan di luar sana sama ada yang belum berumah tangga ataupun yang sudah tetapi mengharungi badai perkahwinan," ujar beliau lagi tentang keberkesanan Forum Bersamamu @ the Hearlands itu.
Seramai 100 pasangan mengikuti sesi terakhir forum itu di Masjid Darul Ghufran.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.