Singtel sahkan perbincangan jual pegangan dalam Optus sedang tekanan pengawal selia meningkat
Singtel pada Khamis (30 Jul) mengesahkan ia sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak mengenai kemungkinan menjual sebahagian pegangannya dalam syarikat telekomunikasi Australia, Optus.
Logo Optus dipamerkan di luar sebuah cawangan di Sydney, Australia pada 29 September 2025. (Gambar fail: Reuters/Hollie Adams)
Bagaimanapun, syarikat itu menegaskan belum ada sebarang kepastian bahawa perbincangan tersebut akan membawa kepada satu perjanjian.
Singtel tidak mendedahkan identiti pihak-pihak yang terlibat dalam rundingan tersebut.
Optus, penyedia perkhidmatan telekomunikasi kedua terbesar di Australia, dimiliki Singtel sejak 2001 dan merupakan antara pelaburan luar negara terbesar syarikat itu.
Bagi tahun kewangan berakhir Mac 2026, Optus menjana pendapatan operasi sekitar A$8.35 bilion (S$6.98 bilion) kepada Singtel, atau sekitar separuh daripada jumlah hasil keseluruhan kumpulan itu.
Pada Mei lalu, Singtel menyatakan ia terbuka untuk membawa masuk rakan kongsi minoriti dari Australia ke dalam Optus.
Reuters sebelum ini melaporkan pada 2024 bahawa Singtel mengadakan rundingan lanjut untuk menjual pegangan besar dalam Optus kepada Brookfield Asset Management, namun syarikat itu menafikan perjanjian tersebut hampir dimuktamadkan.
OPTUS BERDEPAN TEKANAN KAWAL SELIA
Perkembangan itu berlaku ketika Optus berdepan penelitian lebih ketat daripada pihak berkuasa Australia menyusuli dua gangguan perkhidmatan talian kecemasan yang menjejaskan ribuan pengguna dan dikaitkan dengan empat kematian.
Insiden tersebut turut menyebabkan dua pegawai kanan syarikat meletakkan jawatan, termasuk Ketua Pegawai Kewangannya.
Pada Khamis (30 Jul), pengawal selia komunikasi Australia mengumumkan bahawa ia telah memulakan prosiding di Mahkamah Persekutuan terhadap Optus Mobile berhubung gangguan yang berlaku pada September 2025.
Penguasa Komunikasi dan Media Australia (ACMA) mendakwa Optus melanggar dua kewajipan undang-undang sebanyak 1,005 kali kerana gagal menyediakan akses kepada perkhidmatan panggilan kecemasan dan memastikan panggilan tersebut disalurkan ke pusat yang sepatutnya.
ACMA sedang memohon penalti sehingga A$250,000 (S$208,900) bagi setiap pelanggaran.
Singtel dan Optus belum mengulas mengenai rundingan penjualan pegangan tersebut atau prosiding mahkamah yang dimulakan oleh ACMA.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.