Skip to main content

Singapura

SingPost tidak akan terbitkan hasil siasatan dalaman terhadap aduan pemberi maklumat

Singapore Post (SingPost) tidak akan menerbitkan hasil siasatan dalaman terhadap laporan pemberi maklumat, dedah syarikat itu dalam pemfailannya kepada Bursa Singapura (SGX) pada lewat Ahad malam (29 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
SingPost tidak akan terbitkan hasil siasatan dalaman terhadap aduan pemberi maklumat

(Gambar: iStock)

Diterbitkan : 30 Dec 2024 07:46AM Dikemas Kini : 30 Dec 2024 07:48AM
SINGAPURA: Singapore Post (SingPost) tidak akan menerbitkan hasil siasatan dalaman terhadap laporan pemberi maklumat, dedah syarikat itu dalam pemfailannya kepada Bursa Singapura (SGX) pada lewat Ahad malam (29 Dis).

SingPost mengumumkan pada 22 Dis bahawa ia telah memecat ketua pegawai eksekutif kumpulannya Vincent Phang, ketua pegawai kewangan kumpulan Vincent Yik dan ketua eksekutif unit perniagaan antarabangsa Li Yu kerana salah mengendalikan laporan pemberi maklumat.

Tiga lagi pengurus lain yang terlibat secara langsung dalam perkara itu turut dipecat selepas siasatan dalaman dan aduan polis dibuat terhadap mereka.

Menjawab soalan Persatuan Pelabur Sekuriti (SIAS) mengenai sama ada ia akan menerbitkan penemuan penting dalam laporan siasatan dalaman, SingPost merujuk kepada pengumuman yang dibuat di SGX pada 22 Dis dan lewat Ahad malam.

"Kedua-dua pengumuman mendedahkan bahawa penyelesaian dengan para pelanggan yang terjejas tidak mempunyai kesan kewangan kepada kumpulan.

"Syarikat ini akan membuat pengumuman lanjut apabila terdapat perkembangan penting," tambah kenyataan tersebut.

APA YANG BERLAKU

Laporan pemberi maklumat telah difailkan awal tahun ini mengenai perniagaan bungkusan logistik e-dagang antarabangsa yang tidak dikawal oleh kumpulan itu.

Laporan itu mendakwa terdapat kemasukan manual kod status penghantaran tertentu oleh unit perniagaan antarabangsa SingPost. Ini adalah untuk bungkusan pemindahan kapal antarabangsa yang telah dipersetujui oleh syarikat tersebut untuk diserahkan di bawah perjanjian dengan salah satu pelanggan terbesarnya.

Kemasukan secara manual ini dipercayai dilakukan tanpa asas atau dokumentasi sokongan dan dengan niat untuk mengelakkan denda di bawah perjanjian tersebut.

Menyusuli siasatan yang dijalankan, prosiding disiplin telah dikenakan terhadap ketiga-tiga pengurus yang terlibat secara langsung dalam perkara itu. Mereka didapati telah melakukan pelanggaran serius terhadap kod tatalaku syarikat, menurut SingPost.

Ketiga-tiga pengurus itu didapati telah melaksanakan atau meluluskan kod status "kegagalan penghantaran" secara manual untuk bungkusan, walaupun tiada percubaan penghantaran dibuat dan tanpa dokumen sokongan.

Mereka telah dipecat dan aduan polis telah dibuat terhadap mereka.

Encik Phang, Encik Yik dan Encik Li didapati "sangat cuai" dalam mengendalikan siasatan dalaman terhadap laporan pemberi maklumat itu.

Dalam pemfailannya pada Ahad malam (29 Dis), SingPost memberitahu SIAS bahawa kontrak dengan pelanggan telah diperbaharui pada Ogos 2024 dan "syarat-syarat penting" kontrak yang diperbaharui itu telah dirundingkan semula dengan mengambil kira "penunjuk prestasi utama yang boleh diterima".

"Syarat-syarat kontrak terdahulu dan semasa dengan pelanggan adalah sulit. Syarat-syarat penyelesaian dengan pelanggan juga adalah sulit," tegasnya.

SingPost menambah bahawa penyelesaian itu tidak mempunyai kesan ke atas keuntungan bersih syarikat, aset bersih atau pendapatan setiap saham bagi tahun kewangan lalu.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita