Skip to main content

Singapura

SingPost siasat kes surat dan bungkusan ditemui di kolong blok Tampines

Singapore Post (SingPost) menyatakan hari ini (26 Apr) pihaknya telah memulakan siasatan dalaman selepas tindanan surat dan bungkusan yang sepatutnya dikirimkan ke pelbagai unit di Tampines

Anggaran Waktu Membaca:
SingPost siasat kes surat dan bungkusan ditemui di kolong blok Tampines

Bungkusan surat ditemui berhampiran peti surat di sebuah kolong blok Tampines pada 25 April 2019. (Gambar: Li Joanne/Facebook)

Diterbitkan : 26 Apr 2019 05:43PM Dikemas Kini : 26 Apr 2019 05:45PM

SINGAPURA: Singapore Post (SingPost) menyatakan hari ini (26 Apr) pihaknya telah memulakan siasatan dalaman selepas tindanan surat dan bungkusan yang sepatutnya dikirimkan ke pelbagai unit di Tampines ditemui di kolong blok flat tersebut malam semalam.

Pada Khamis sekitar 11.30 malam, pengguna Facebook Joane Li memuat naik beberapa gambar menunjukkan dua bungkusan yang menurutnya "dibuang di tempat pembuangan kertas peti surat".

Gambar-gambar tersebut menunjukkan surat-surat beralamat rumah penduduk yang tinggal di kawasan Tampines Street 83.

"Tetapi jangan khuatir, ia (surat-surat itu) selamat dengan saya. Singapore Post, saya tidak akan menghantarkan surat-surat ini bagi pihak anda. Sila hubungi saya untuk mendapatkan semula surat-surat ini dan lakukan siasatan yang teliti tentang apa sebenarnya berlaku," tulis Cik Li di akaun Facebook-nya.

Singapost, ketika menjawab pertanyaan Mediacorp, menyatakan ia sudah menghubungi Cik Li dan akan mengambil semula surat-surat tersebut daripadanya pada Jumaat.

"Kami juga sudah memulakan siasatan dalaman mengenai kes ini dan akan memberikan perkembangan terkini bila ia diperolehi," menurut penyedia khidmat penghantaran surat tersebut.

Kejadian itu berlaku kurang sebulan setelah Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) mengenakan denda S$300,000 kepada SingPost kerana gagal memenuhi piawaian khidmat penghantaran surat pada 2018.

Pada Januari tahun ini, SingPost juga meminta maaf kepada para pelanggannya atas "kemerosotan perkhidmatannya" sejak beberapa minggu dengan menyatakan bahawa November-Disember merupakan tempoh yang "sangat sibuk".

Seorang posmen yang berkhidmat di kawasan Ang Mo Kio diberkas pada Januari lalu setelah seorang penduduk terjumpa surat-surat yang belum dibuka di dalam tong sampah.

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita