Skip to main content

Singapura

SingPost siasat kes sampul surat belum dibuka dalam tong sampah di Ang Mo Kio

SingPost sedang menyiasat beberapa gambar tular di media sosial yang menunjukkan sampul-sampul surat yang belum dibuka, termasuk surat daripada agensi-agensi pemerintah, ditemui dalam tong sampah.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 29 Jan 2019 02:21PM Dikemas Kini : 30 Jan 2019 12:40AM

SINGAPURA: SingPost sedang menyiasat beberapa gambar tular di media sosial yang menunjukkan sampul-sampul surat yang belum dibuka, termasuk surat daripada agensi-agensi pemerintah, ditemui dalam tong sampah.

Penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Cik Loh memberitahu Mediacorp, beliau menemui kira-kira 30 hingga 40 sampul surat yang belum dibuka, dalam tong sampah di Blok 179 Ang Mo Kio Avenue 5, malam semalam (28 Jan).

Antaranya, adalah surat daripada Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (CHAS).

(Gambar: Alyce Kathlyn/Facebook)

Cik Loh memuat naik gambar surat yang ditemuinya di laman Facebook pada malam itu juga, dan catatannya dikongsi lebih 6,000 kali.

Dalam responsnya kepada Mediacorp, SingPost menyatakan ia telah menghantar pasukannya pada Isnin malam untuk mencari surat-surat tersebut.

"SingPost sedar gambar-gambar surat yang didakwa dibuang ke dalam sebuah tong sampah sedang tular di media sosial. Berdasarkan alamat surat-surat itu, satu pasukan segera dihantar ke kawasan tersebut semalaman untuk menyiasat keadaan," menurutnya dalam satu kenyataan yang juga dimuat naik dalam halaman Facebook SingPost.

Namun, pasukan itu tidak menemui surat-surat seperti yang didakwa, tambah SingPost.

Cik Loh, yang juga dikenali sebagai Alyce Kathlyn kemudian menjelaskan, beliau sudah memasukkan surat-surat berkenaan ke dalam peti surat berhampiran supaya ia dapat dihantar semula kepada penerimanya.

SingPost menyatakan ia sedang menemu duga posmen yang bertugas dan cuba mengesan surat-surat terjejas supaya ia dapat dihantar kepada penerimanya.

"Harap anda bersabar sedang kami terus menyiasat kes ini dan memberi perkembangannya secepat mungkin," katanya lagi.

SingPost juga sudah menghubungi Cik Loh dan meminta maaf atas "kejadian yang tidak menyenangkan" itu. Ia juga memberi jaminan akan menyiasat sepenuhnya kes berkenaan.

Cik Loh berkata, sebelum kejadian itu, beliau pernah melihat surat "dibuang dua kali dalam tempoh enam bulan" di blok yang sama.

Pada Februari 2018, seorang posmen SingPost dipecat setelah dia didapati membuang surat yang dipulangkan dan surat baru di sebuah kondominum.  

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita