SingPost rancang ganti lebih 800 kenderaan kepada kuasa elektrik jelang 2026
Singapore Post (SingPost) merancang untuk menggantikan lebih 800 kenderaan milik syarikat itu kepada kenderaan elektrik dalam masa lima tahun akan datang.
SINGAPURA: Singapore Post (SingPost) merancang untuk menggantikan lebih 800 kenderaan milik syarikat itu kepada kenderaan elektrik dalam masa lima tahun akan datang.
Langkah itu adalah yang pertama seumpamanya diperkenalkan di rantau ini.
Sebagi permulaan, dua kenderaan elektrik mula digunakan hari ini (16 Ogos) sebagai sebahagian daripada usaha rintis syarikat berkenaan.
Anda kini boleh menerima mel menerusi salah satu kenderaan elektrik yang lebih mesra alam sepertinya.
SingPost kini menguji penggunaan kenderaan elektrik ini Daerah Pusat Perniagaan (CBD) dan berdekatan Orchard Road.
Kenderaan tiga roda itu hanya mengeluarkan 25 peratus gas karbon, lebih senyap dan juga berupaya membawa tambahan 8 peratus barangan kiriman.
Selain itu, ia tidak perlu dicas secara kerap.
Ini memandangkan satu bateri penuh boleh digunakan bagi perjalanan selama sekitar 120 kilometer - iaitu sekurang-kurangnya enam kali ganda lebih jauh berbanding perjalanan yang biasanya dilakukan oleh pekerja penghantaran setiap hari.
Lebih 800 motosikal, skuter dan van akan digantikan dengan kenderaan elektrik dalam tempoh lima tahun akan datang.
SingPost juga menggunakan dua van elektrik sebagai sebahagian daripada ujian rintis tersebut.
Di samping itu, ia sedang dalam perbincangan untuk menggantikan kenderaan-kenderaan lebih berat dengan lori elektrik.
Langkah tersebut adalah sebahagian daripada usaha SingPost untuk mengurangkan pengeluaran gas karbon sebanyak 35 peratus menjelang tahun 2030.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.