SingPost, NLB lancarkan set baharu setem papar gambar bersejarah Sungai SG
Set setem baharu memaparkan gambar Sungai Singapura pada abad ke-19. (Gambar: NLB)
Setem Penempatan Awal Sungai Singapura - dengan nilai muka S$0.80, S$0.90, S$1.15 dan S$1.50 - memaparkan gambar sungai tersebut pada abad ke-19, yang diperolehi daripada koleksi jarang dilihat di Perpustakaan Negara.
"Lembaga Perpustakaan Negara dan Singapore Post Limited bekerjasama untuk menghasilkan set setem yang menonjolkan Sungai Singapura sebagai titik permulaan pembangunan ekonomi negara dan perubahan bandar pada awal abad ke-19," menurut NLB dalam satu kenyataan media.
"Sungai Singapura terletak di sebuah tempat penting dalam sejarah Singapura dengan rekod-rekod visual seringkali menggambarkannya sebagai nadi kegiatan komersial dan pembangunan bandar."
"Gambar-gambar yang dicetak pada setem-setem ini dipilih secara khusus daripada koleksi jarang dilihat yang dijumpai di Perpustakaan Negara."
Menurut NLB setem-setem itu melambangkan kerjasama berterusan dengan rakan-rakannya untuk membawa lebih banyak kisah Singapura kepada umum sebagai sebahagian daripada inisitiaf rangka tindakan Perpustakaan dan Arkib 2025 atau LAB25.

Ia dilukis oleh HS Melville, iaitu seorang pelukis yang berada di atas kapal HMS Fly, yang melawat Singapura pada Julai 1845.
"Ia menunjukkan sungai tersebut sebagai hab kegiatan komersial dengan rumah-rumah kedai dan deretan gudang di kawasan tebingnya serta bot-bot yang membawa barangan dan penumpang," menurut NLB.

Ia dilukis oleh Barthelemy Lauvergne, seorang artis yang menaiki kapal La Bonite, iaitu kapal perang Perancis yang berlabuh di Singapura pada Februari 1837 semasa berlayar ke merata dunia.
"Masyarakat Cina sudah membentuk sebahagian besar penduduk bandar yang menetap di barat daya tebing sungai itu," menurut NLB.
"Lukisan ini menggambarkan sekumpulan orang Cina yang menyeberangi jambatan, dengan rumah-rumah Cina di bahagian hadapannya."

Pemandangan panoramik yang dilihat pada setem S$1.15 dilukis dari tempat tinggi yang pada waktu itu dikenali sebagai Government Hill. Sekarang ia dikenali sebagai Fort Canning Hill.
Kapten dan artis Tentera Diraja Robert James Elliot berkemungkinan melukisnya antara 1822 hingga 1824 semasa beliau melakukan perjalanan melalui India dan China.
"Latar belakang menunjukkan kapal-kapal yang berlabuh di perairan Singapura dan di bahagian tengah gambar menunjukkan bandar Eropah di sebelah kiri dan lembangan luas Sungai Singapura dengan bot-bot dan bangunan komersial di sebelah kanan. Gambar manusia di bahagian depan memberikan gambaran saiznya," menurut NLB.
"Pemandangan itu menyerlahkan peralihan menakjubkan Singapura kepada sebuah penempatan pelabuhan yang sibuk, dengan Sungai Singapura sebagai nadinya hanya beberapa tahun selepas ia dijadikan kawasan perdagangan British pada 1819."

Gambar jambatan ini diambil daripada lukisan William Robinson, seorang kadet kanan yang berada di atas kapal HMS Rainbow semasa ia melawat Singapura pada 1826.
"Dibina pada 1823, jambatan kayu ini adalah jambatan paling awal di Sungai Singapura, menghubungkan penempatan di kawasan kiri dan kanan," menurut NLB.
"Jambatan itu menghubungkan North Bridge Road dan South Bridge Road dan boleh dinaikkan di bahagian tengahnya untuk membolehkan bot-bot lalu. Jambatan Elgin berada di tapak yang sama hari ini."
Set empat setem itu berharga S$4.35. Tawaran penjualan setem hari pertama berharga S$5.95.
Pek koleksi peribadi yang mengandungi empat setem itu pula dijual pada harga S$7.05.
Ia boleh dibeli di mana-mana cawangan SingPost atau kedai filatelik dan juga kedai online SingPost.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.