Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SingPost naikkan kadar bayaran pos bagi surat standard sebanyak 65%

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 19 Sep 2023 12:54PM Dikemas Kini : 19 Sep 2023 08:53PM
SINGAPURA: Singapore Post (SingPost) akan menaikkan kadar bayaran pos bagi surat standard dari 31 sen kepada 51 sen - satu kenaikan hampir 65 peratus - sedang kos meningkat dan jumlah kiriman posnya kian merosot.

Kenaikan 20 sen ini mencerminkan "kos yang semakin naik untuk meneruskan khidmat pos", jelas SingPost menerusi satu kenyataan media pada Selasa (19 Sep).

Kadar bayaran pos yang baharu akan mula berkuatkuasa dari 9 Oktober tahun ini.

Demi membantu orang ramai menampung kenaikan itu, SingPost akan mengagihkan satu buku kecil yang mengandungi 10 setem kepada setiap isi rumah, bermula hujung Oktober.

Kali terakhir bayaran pos naik dengan ketara adalah pada 2014, di mana kadarnya dinaikkan dari 22 sen kepada 30 sen.

BAYARAN IKUT BERAT KIRIMAN DIPERMUDAHKAN LAGI

SingPost juga menyatakan bahawa ia akan memudahkan lagi struktur kadar bayaran pos. Ini demi menjadikan "khidmat pos lebih mesra pengguna, sekali gus meningkatkan lagi pengalaman pengguna, selain memudahkan lagi urusan para pembeli".

Misalnya, bayaran tidak lagi akan ditetapkan berdasarkan berat kiriman, khususnya bagi khidmat tanpa pengesanan.

Ini bermakna, 51 sen akan dikenakan bagi surat standard dengan berat sehingga 500g.

Buat masa ini, surat seberat 20 gram dan 40 gram masing-masing dikenakan caj 31 sen dan 38 sen.

Kiriman surat dalam sampul surat besar dengan berat sehingga 500 gram pula akan dikenakan kadar sama rata 80 sen bermula 9 Oktober.

Setakat ini, SingPost mengenakan bayaran 60 sen bagi surat dengan berat sehingga 100 gram, 90 sen bagi surat dengan berat sehingga 250 gram dan S$1.15 bagi surat dengan berat sehingga 500 gram.
KENAIKAN "PERLU" DILAKUKAN

SingPost menjelaskan kadar bayaran posnya perlu dinaikkan agar pihaknya "dapat terus memenuhi kewajipan sebagai pemegang lesen khidmat pos awam Singapura".

Penyesuaian tersebut, tambah syarikat itu, akan membantu menampung kos tenaga kerja, kemudahan, minyak serta perbelanjaan penghantaran yang kian melambung.

Semua ini juga akan membantunya menangani kerugian yang disebabkan "jumlah kiriman pos yang terus-menerus menyusut".

"Antara Tahun Kewangan 2018/19 hingga Tahun Kewangan 2022/23, jumlah kiriman pos menjunam lebih 40 peratus."

Ketua Pegawai Eksekutif SingPost, Cik Neo Su Yin berkata kumpulan itu sudah menyerap kos yang semakin tinggi dan mengekalkan kadar bayaran pos sejak 2014.

"Dengan tekanan kos yang semakin hebat dan landskap perniagaan yang kian mencabar, kami tidak ada pilihan selain menaikkan harga supaya dapat bertahan dan terus menyediakan khidmat penting mengirimkan pos buat semua di negara ini.

SingPost juga menyatakan dalam kenyataan medianya bahawa kadar bayaran pos lebih tinggi akan membolehkan pihaknya untuk meneroka model perniagaan lebih mampan buat jangka masa panjang.

Ini akan turut mengimbangi keperluannya untuk terus berdaya tahan sedang SingPost menjaga kepentingan pihak-pihak berkepentingan.
Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan