Skip to main content

Singapura

SingPost lantik Neo Su Yin galas peranan COO kumpulan baru diwujudkan

Anggaran Waktu Membaca:
SingPost lantik Neo Su Yin galas peranan COO kumpulan baru diwujudkan

(Gambar: Singapore Post)

Diterbitkan : 02 Jan 2025 11:52AM Dikemas Kini : 02 Jan 2025 11:53AM
SINGAPURA: Singapore Post pada Khamis (2 Jan) menamakan Cik Neo Su Yin sebagai ketua pegawai operasi kumpulan (COO) yang baharu.

Dalam peranan yang baru diwujudkan itu, berkuat kuasa Khamis, Cik Neo akan menyelia unit perniagaan Singapura, unit perniagaan antarabangsa dan hartanah syarikat itu, menurut penyedia khidmat pos itu dalam kenyataan medianya pada Khamis (2 Jan).

Cik Neo juga akan mendapat bimbingan daripada Pengerusi Lembaga SingPost Simon Israel di tengah-tengah "peralihan pada aturan pengurusan".

"Kedudukan COO kumpulan adalah peranan penting untuk menterjemahkan transformasi kepada hasil yang nyata, memastikan pelaksanaan berkualiti tinggi, sambil memupuk budaya inovasi dan penambahbaikan berterusan," kata SingPost, sambil menambah bahawa Cik Neo akan menyokong usaha lembaga pengarah menyemak semula unit perniagaan antarabangsa.

Cik Neo menyertai SingPost pada April 2019 sebagai naib presiden pengalaman pelanggan sebelum dilantik sebagai CEO Singapura pada November 2021.

Beliau memegang jawatan itu sehingga Mei 2024 sebelum menyertai penyedia khidmat udara dan percutian dnata sebagai pengarah urusan bagi Singapura, di mana beliau bertanggungjawab mengendalikan operasi darat dan kargo di Lapangan Terbang Changi.

"Semasa perkhidmatan beliau sebelum ini di SingPost, Su Yin memainkan peranan penting dalam tempoh transformasi yang ketara untuk sistem pos Singapura, menyumbang kepada peningkatan di seluruh kawasan operasi utama, termasuk penghantaran jarak jauh, transformasi digital dan pengoptimuman operasi pos," kata SingPost.

Cik Neo ialah pengurus besar di Changi Airport Group (CAG), menyelia operasi darat dan pengalaman pelanggan di terminal-terminalnya, sebelum menyertai SingPost.

Beliau juga sebelum ini memegang beberapa peranan kepimpinan semasa berkhidmat selama 17 tahun dengan Angkatan Tentera Laut Republik Singapura (RSN), termasuk pegawai pemerintah sebuah kapal perang.

"Saya berbesar hati untuk kembali ke SingPost pada ketika ini, dan menghargai kepercayaan yang diberikan oleh lembaga pengarah kepada saya," kata Cik Neo, yang mempunyai lebih 20 tahun pengalaman dalam operasi dan pengalaman pelanggan.

"Dalam tempoh khidmat saya sebelum ini, saya berpeluang menerajui strategi transformasi untuk masa depan khidmat pos dan memacu peningkatan dalam bidang-bidang utama."

Cik Neo menambah, beliau komited untuk bekerjasama dengan pasukan kepimpinan SingPost untuk memacu kecemerlangan perniagaan dan memupuk budaya kebertanggungjawaban yang lebih kukuh.

Pelantikan Cik Neo diumumkan selepas SingPost memecat tiga eksekutif kanannya pada Disember tahun lalu atas tingkah laku mereka semasa menjalankan siasatan dalaman terhadap aduan pemberi maklumat.

Sebagai sebahagian daripada prosiding disiplin, SingPost telah membatalkan perkhidmatan CEO kumpulannya Encik Vincent Phang, ketua pegawai kewangan kumpulan (CFO) Encik Vincent Yik dan ketua eksekutif unit perniagaan antarabangsa syarikat itu, Encik Li Yu.

Ketiga-tiga eksekutif berkata mereka akan mencabar keputusan SingPost membatalkan khidmat mereka, dan mendakwa bahawa pemecatan mereka dilakukan "tanpa merit" dan tidak adil.

Dalam pemfailannya kepada Bursa Singapura (SGX) pada 29 Dis, Encik Israel berkata keputusan syarikat itu untuk memecat mereka adalah keputusan yang sudah "dipertimbangkan dengan teliti" oleh lembaga tersebut.
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita