SingPost laksanakan bayaran bebas tunai bagi GST, duti untuk barang luar negara mulai Nov
Individu yang menerima barangan dari luar negara yang boleh dikenakan cukai melalui perkhidmatan pos atau Speedpost tidak lama lagi boleh membuat pembayaran mereka dengan cara tanpa tunai, menurut SingPost pada Jumaat (1 Okt).

(Gambar: Francine Lim)
SINGAPURA: Individu yang menerima barangan dari luar negara yang boleh dikenakan cukai melalui perkhidmatan pos atau Speedpost tidak lama lagi boleh membuat pembayaran mereka dengan cara tanpa tunai.
Demikian menurut Singapore Post (SingPost) hari ini (1 Okt).
Mulai 1 November, penerima barang yang dihantar dari luar negara akan diminta membayar semua duti atau Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), atau kedua-duanya, melalui aplikasi mudah alih SingPost, kiosk SAM, atau di mana-mana pejabat pos sebelum penghantaran dibuat.
SingPost menyatakan ia akan berhenti mengutip pembayaran tunai, juga mulai 1 November, untuk barang-barang seperti itu pada waktu penghantaran oleh posmen, duta bungkusan Speedpost atau khidmat penghantaran yang dilantik.
Ini adalah "sebahagian usaha berterusan untuk memperbaiki pengalaman pelanggan", menurut SingPost.
Pembayaran menerusi GIRO untuk pelanggan korporat berdaftar tetap tidak berubah, tambahnya.
Semua barangan seperti barang baru atau terpakai, pembelian online dan hadiah yang diimport melalui pos dikenakan pembayaran GST dan/atau duti, selaras dengan peraturan kastam sedia ada.
Pengecualian GST diberikan bagi barang yang diimport melalui pos, tidak termasuk alkohol dan tembakau, dengan jumlah kos, insurans dan barang (CIF) tidak melebihi S$400.
Barangan dengan nilai CIF melebihi S$400 akan dikenakan GST dan/atau duti ke atas keseluruhan nilai barangan.
Barang yang boleh dikenakan duti seperti alkohol dan tembakau tertakluk kepada GST dan duti berdasarkan nilai penuh barang tersebut, serta syarat tambahan seperti yang ditetapkan oleh Kastam Singapura bagi mengimport barang tersebut.
APP MUDAH ALIH SINGPOST
SingPost menggalakkan semua pelanggan untuk menggunakan aplikasi mudah alihnya untuk memastikan pengalaman lebih lancar semasa menerima barang mereka dari luar negara.
Setelah menerima barang yang boleh dikenakan cukai dan/atau dikenakan duti dari luar negara, SingPost akan memberitahu pelanggan mengenai barang yang perlu dibayar GST melalui pemberitahuan di aplikasi mudah alih dan juga melalui SMS atau emel.
Pelanggan tanpa akaun berdaftar di aplikasi mudah alih SingPost akan dimaklumkan sama ada melalui SMS, emel atau surat cetak.
Bayaran perlu dibuat dalam masa 14 hari daripada tarikh pemberitahuan, jika tidak, barang akan dikembalikan kepada pengirim.
Sebaik sahaja bayaran diterima, SingPost akan mengaturkan untuk barangan dihantar dalam tempoh dua hingga tiga hari biasa.
Mereka yang layak bagi pengecualian GST perlu menyerahkan salinan permit import selain nombor penjejakan barang tersebut menerusi emel kepada SingPost di oclgst [at] singpost.com sebelum ia dilepaskan bagi penghantaran.
PENUTUPAN KAUNTER ICA DI PUSAT SINGPOST
SingPost hari ini juga mengumumkan bahawa kaunter ICA di Pusat SingPost akan ditutup selamanya mulai 1 Disember.
Pada masa ini, pelanggan yang menerima barang dari luar negara yang boleh dikenakan cukai mesti membuat pembayaran GST dan duti secara langsung di kaunter ICA sebelum mengambil barang mereka.
Namun, mulai 1 November, pelanggan tidak perlu lagi membayar dan mengambil barang secara fizikal.
Mereka sebaliknya akan dimaklumkan untuk membuat pembayaran sebelum barang itu dihantar di alamat tersenarai.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.