SingPost ambil langkah ringankan beban pekerja bagi tingkatkan mutu khidmat
Singapore Post (SingPost) mengumumkan beberapa langkah baru yang akan diambil bagi mempertingkat mutu khidmatnya. Langkah itu sebahagian daripada semakan operasi pengiriman posnya menyusuli beberapa insiden khidmat kurang memuaskan baru-baru ini.
(Gambar fail: Roslan Rahman/AFP)
SINGAPURA: Singapore Post (SingPost) mengumumkan beberapa langkah baru yang akan diambil bagi mempertingkat mutu khidmatnya. Langkah itu sebahagian daripada semakan operasi pengiriman posnya menyusuli beberapa insiden khidmat kurang memuaskan baru-baru ini.
Langkah-langkah tersebut diumumkan selepas SingPost didenda S$100,000 oleh Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) pada Khamis (7 Feb) kerana gagal mengirim surat-surat tepat pada masanya pada 2017.
Antara inisiatif-inisiatif baru itu adalah meringankan beban tugas posmen. Singpost dalam kenyataannya menjelaskan bahawa beban para pekerjanya semakin berat akibat kebangkitan e-dagang dan yuran perkhidmatan pos yang lebih murah.
Secara purata, setiap posmen melakukan antara 50 hingga 60 penghantaran sampai ke depan pintu dalam sehari sejak beberapa bulan lalu ketika tempoh peningkatan musiman e-dagang. Ia menambah, jumlah pengiriman ke depan pintu kini melebihi pengiriman ke peti surat.
Syarikat itu akan bekerjasama dengan agensi-agensi Pemerintah dan Kesatuan Sekerja Telekom Singapura (UTES) bagi meningkatkan kemahiran para pekerjanya bagi memastikan mereka dapat memenuhi permintaan e-dagang yang pesat berkembang.
SingPost mengesahkan, lagi 100 posmen akan digajikan, sementara 35 lagi pemandu kiriman barang akan dijadikan sebagai posmen sepenuh masa.
Ia juga akan membuka lebih banyak kaunter khas di pejabat-pejabat pos bagi pungutan kiriman.
Langkah-langkah lain termasuk menaikkan gaji posmen di samping insentif bila mereka menyempurnakan kiriman ke depan pintu. SingPost juga akan mengurangkan perniagaan kiriman bukan teras seperti pengiriman iklan bagi memperbaiki mutu khidmatnya.
Para pelanggan mendakwa mutu khidmat SingPost semakin buruk dalam tempoh antara November hingga Disember lalu. Syarikat itu memohon maaf awal tahun ini selepas aduan diutarakan di wadah media sosial tentang surat-surat yang tidak dikirimkan serta tandatangan palsu bagi kiriman-kirimannya.
Seorang posmen diberkas pada bulan lalu menyusuli laporan bahawa surat-surat dibuang ke dalam tong sampah. Tahun lalu, seorang posmen SingPost dipecat selepas dia membuang surat-surat yang dipulangkan serta surat yang sepatutnya dikirim langsung ke sebuah kondominium.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.