Skip to main content

Singapura

SingPost akan naikkan kadar bayaran pos biasa sebanyak 10 sen mulai 2026

Singapore Post (SingPost) akan menaikkan kadar bayaran pos biasa sebanyak 10 sen mulai 1 Januari 2026, sambil menukil "kemerosotan struktur" dalam jumlah kiriman surat yang merosot lebih 40 peratus sejak 2019.
Anggaran Waktu Membaca:
SingPost akan naikkan kadar bayaran pos biasa sebanyak 10 sen mulai 2026
Logo SingPost terpapar pada peti-peti surat. (Gambar fail: TODAY)
New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 09 Dec 2025 11:13AM
SINGAPURA: Singapore Post (SingPost) akan menaikkan kadar bayaran pos biasa sebanyak 10 sen mulai 1 Januari 2026, sambil menukil "kemerosotan struktur" dalam jumlah kiriman surat yang merosot lebih 40 peratus sejak 2019.

Kadar baharu bagi khidmat penghantaran pos asas bagi surat standard dan sampul besar standard adalah 62 sen dan 90 sen masing-masing, manakala kadar kiriman surat secara pukal yang digunakan oleh perniagaan juga akan meningkat, menurut syarikat itu pada Selasa (9 Dis).

Kali terakhir SingPost menyemak kadar bayaran khidmat pos, kiriman bungkusan dan penghantaran bungkusan ke rumah adalah pada 2023.

"Kenaikan dalam kadar bayaran pos bertujuan menangani kemerosotan berterusan dalam jumlah penghantaran surat dan kos operasi yang meningkat, bagi menyokong kemampanan jangka panjang SingPost supaya ia dapat terus memenuhi keperluan pos Singapura," ia menambah.

"Ini beserta dengan peralihan kepada perhubungan digital, menyebabkan para penyedia khidmat penghantaran pos perlu mengimbangi peningkatan kos untuk menyediakan perkhidmatan - termasuk kakitangan, tenaga, dan infrastruktur - berbanding dengan jumlah pos yang dikumpul."

SingPost menyatakan trend itu turut dilihat di negara-negara lain sedang para pengendali pos berusaha mencapai kemampanan jangka panjang.

"Perubahan dalam kadar bayaran pos akan membolehkan SingPost untuk terus melabur dalam usaha pemodenan bagi meningkatkan pengalaman pengguna dan kecekapan operasi."

Sambil menyifatkan semakan kadar bayaran itui sebagai "langkah penting", CEO SingPost Mark Chong berkata: "Ia akan membolehkan kita untuk terus memenuhi mandat kiriman pos negara di samping memajukan transformasi Singapura menjadi sebuah pemimpin logistik yang dipacu teknologi."

Pada November, Encik Chong berkata SingPost akan memberi tumpuan kepada operasi domestik dan perniagaan utamanya termasuk e-dagang.

SingPost pada Selasa turut menyentuh tentang inisiatif-inisiatif lain yang dilancarkannya baru-baru ini untuk meningkatkan mutu dan kecekapan perkhidmatan seperti SpeedPost Direct International bagi mematuhi perubahan tarif Amerika Syarikat untuk bungkusan bernilai rendah, serta uji rintis yang membolehkan para penduduk mengirim dan memulangkan surat menerusi kelompok peti surat di kediaman mereka bagi meningkatkan kemudahan.

Usaha lain termasuk memperluaskan rangkaian kepada kira-kira 2,500 titik perkhidmatan di seluruh Singapura dan meningkatkan keupayaan e-dagang, dengan S$30 juta dilaburkan dalam teknologi automasi di hab logistik e-dagang serantau syarikatnya.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita