Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SingPost akan naikkan bayaran kiriman pos, khidmat penghantaran mulai 2023

Anggaran Waktu Membaca:
SingPost akan naikkan bayaran kiriman pos, khidmat penghantaran mulai 2023

Pusat Logistik E-dagang Serantau SingPost di Singapura. (Gambar fail: AFP/Roslan Rahman)

SINGAPURA: Singapore Post (SingPost) akan menaikkan bayaran untuk khidmat pos, kiriman bungkusan dan penghantaran bungkusan ke rumah mulai 1 Jan 2023.

Kenaikan kadar pos yang diumumkan pada Jumaat (16 Dis) itu selaras dengan kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan "kenaikan kos berkaitan inflasi luar biasa yang menjejas tenaga manusia, bahan bakar dan bekalan elektrik".

GST akan dinaikkan dari 7 peratus kepada 8 peratus pada 1 Jan 2023. GST akan dinaikkan secara berperingkat sepanjang dua tahun akan datang. GST akan dinaikkan dari 8 peratus kepada 9 peratus pada 1 Jan 2024.

Disebabkan oleh kenaikan GST dan peningkatan kos operasi yang ketara, terdapat keperluan untuk menyesuaikan harga produk dan khidmat SingPost bagi menyokong khidmat penghantaran agar dapat berdaya tahan, menurut SingPost.
Mengulas tentang semakan harga itu – yang dilakukan oleh SingPost buat kali pertama sejak 2014 - Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SingPost Neo Su Yin berkata: "Singapura menawarkan bayaran pos yang merupakan antara terendah bagi sesebuah negara maju.

"Seperti mana dialami pelanggan-pelanggan kami, SingPost juga menanggung kenaikan kos inflasi berkaitan dengan tenaga manusia, bahan bakar dan belakan elektrik yang meningkat dengan ketara.

"Penyesuaian kadar pos itu akan membantu kami mengekalkan khidmat yang ditawarkan dan standard khidmat yang tinggi, dan membolehkan kami untuk beroperasi secara berdaya tahan dengan kenaikan GST."

KHIDMAT ASAS

Bagi khidmat penghantaran pos asas, kadar bagi surat seberat 20 gram dan 40 gram akan masing-masing dinaikkan dari 30 sen dan 37 sen kepada 31 sen dan 38 sen mulai 1 Jan 2023.

Setem-setem berkenaan, iaitu setem tempatan pertama (first local stamp) dan setem tempatan kedua (second local stamp) masing-masing akan dijual pada harga 31 sen dan 38 sen mulai tarikh yang sama.

Mulai 1 Jan 2024, kadar pos bagi surat 20 gram akan dinaikkan kepada 32 sen dan kadar pos bagi surat 40 gram akan dinaikkan kepada 39 sen.
 
Para pengguna yang memiliki setem tempatan pertama dan kedua boleh menggunakannya selepas 1 Jan 2023 dan 1 Jan 2024 tanpa perlu menokok perbezaan harga, menurut SingPost.

GST tidak dikenakan bagi khidmat-khidmat penghantaran pos asas yang lain bagi orang awam, termasuk sampul besar standard dan bukan standard, dan harganya kekal sama.

KHIDMAT PENJEJAKAN

Khidmat pos berserta khidmat penjejakan, yang kini ditawarkan pada harga S$2.55 dan S$3.40, akan dinaikkan pada 1 Jan 2023.

Penghantaran barangan seberat sehingga 20 gram akan dinaikkan 5 sen, sementara barangan seberat sehingga 40 gram akan dinaikkan 5 sen bermula 1 Jan 2024.

Bagi barangan seberat sehingga 100 gram, 250 gram dan 500 gram, bayaran akan dinaikkan 5 sen mulai 1 Jan 2023, dan sekali lagi pada 1 Jan 2024.

Bayaran bagi Khidmat Pos Berdaftar (Singapura) akan dinaikkan dari S$2.24 kepada S$2.27 pada hari yang sama dan kepada S$2.30 pada 1 Jan 2024.

Bayaran yang dikenakan itu adalah tambahan kepada kadar pos yang dikenakan, menurut SingPost.

Bayaran bagi penghantaran standard Speedpost ke alamat di Singapura juga akan dinaikkan dari S$6 kepada S$6.10 pada 1 Jan 2023 dan kepada S$6.20 setahun kemudian.

Cik Neo berkata: "Kami tetap komited dalam memastikan khidmat pos kami kekal relevan dalam era e-dagang, mendatangkan nilai kepada dan berkhidmat dengan lebih baik untuk memenuhi keperluan pelanggan kami."
Sumber : CNA/ZM/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan