Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SingHealth Tower dan Hospital Masyarakat Outram dibuka rasmi

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 24 Jan 2022 05:41PM Dikemas Kini : 24 Jan 2022 09:23PM

SINGAPURA: SingHealth Tower dan Hospital Masyarakat Outram dibuka secara rasmi hari ini (24 Jan).

Terletak di kampus Hospital Besar Singapura (SGH), SingHealth Tower "memainkan peranan utama dan strategik bagi kampus SGH", kata Menteri Kesihatan, Ong Ye Kung dalam ucapannya semasa majlis perasmiannya.

Singhealth Tower menempatkan kemudahan utama seperti dapur pusat dan unit bekalan steril yang menyokong operasi seharian SGH dan institusi lain di kampus.

Sebuah hab logistik dan pejabat pentadbiran juga terletak di bangunan 19 tingkat itu.

"Mereka merupakan kakitangan di sebalik tabir pertubuhan ini. Mereka sangat penting kepada mana-mana organisasi dan kampus,” kata Encik Ong.

"Namun, dalam era media sosial dan publisiti sepanjang masa, kita mungkin terlupa sumbangan penting mereka sehinggalah berlaku sesuatu yang tidak diingini. Saya gembira SingHealth kini menyediakan sekitaran kerja yang lebih selesa dan menyenangkan."

Hospital Masyarakat Outram (OCH) yang terletak di SingHealth Tower menempatkan 545 katil hospital. Ia dapat "membantu memastikan penjagaan bersepadu dan lancar di seluruh hospital akut dan masyarakat di kampus ini", kata Encik Ong.

"Kami amat bernasib baik kerana OCH dibuka pada November tahun 2019, sebelum negara ini dilanda wabak COVID-19, tambah beliau.

"Maka, SingHealth dapat menggunakan wad OCH untuk menambah kapasiti katil apabila berlakunya lonjakan kes COVID-19."

Ia juga sudah menyokong operasi Hospital Masyarakat Bright Vision sejak ia ditukarkan menjadi kemudahan rawatan COVID-19, kata beliau.

OCH merupakan Hospital Masyarakat yang kesembilan di negara ini dan satu daripada tiga hospital di bawah SingHealth. Ia menawarkan program dan aktiviti yang direka untuk memastikan pesakit warga emas didampingi secara mental dan fizikal sepanjang rawatan mereka.

Salah satu program yang akan dilancarkan di OCH adalah mereka akan melengkapkan pesakit dengan kemahiran penting, seperti mengetahui cara menggunakan telefon bijak dan aplikasi seperti pengimbas kod WhatsApp atau QR.

"Kemahiran-kemahiran ini akan membantu menghubungkan mereka dengan rakan-rakan dan orang-orang tersayang dan menjalani kehidupan yang bermakna dan aktif selepas dibenarkan pulang,” kata Encik Ong.

Bagi mereka yang ingin duduk di rumah sahaja, OCH juga menawarkan khidmat hospis siang hari yang dikendalikan oleh HCA Hospice Care. Ia merupakan khidmat hospis diang hari pertama yang ditempatkan di sebuah hospital masyarakat.

PEMBINAAN KAMPUS SGH AMBIL MASA KIRA-KIRA 15 TAHUN

Pelan induk kampus SGH itu diumumkan pada 2016. Sejak itu, kampus tersebut sudah melalui perubahan besar untuk menambah baik kemudahannya dan meningkatkan kapasiti bagi keperluan meningkat bagi jagaan kesihatan, kata Encik Ong.

Fasa pertama pelan induk itu termasuk OCH. Satu lagi perkembangan penting termasuk Pusat Barah Kebangsaan yang dijadualkan dibuka hujung tahun ini dan Bangunan Perubatan Kecemasan, yang akan dibuka secara bertahap-tahap mulai tahun 2024.

Ini diikuti dengan Pusat Jagaan Elektif SGH dan Pusat Pergigian Nasional, yang dijadualkan dibuka semula menjelang tahun 2027.

Perbelanjaan yang diperutunkkan bagi pembangunan Fasa Satu adalah kira-kira S$4 bilion, kata Encik Ong.

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan