SingHealth lancar kursus percuma untuk pembantu rumah timba kemahiran perubatan asas
Para pekerja hijrahan adalah nadi penting dalam sektor binaan, penyelenggaraan, pembersihan, penjagaan dan perkhidmatan.(Gambar fail: TODAY/Illi Nadhirah Mansor)
Pembantu rumah hijrahan warga Filipina itu mengalami kebimbangan apabila memberi ubat dan menjalankan ujian kencing manis dengan menusuk jari warga emas tersebut.
Semua itu berubah selepas Cik Rose menjalani sesi latihan yang dikendalikan oleh SingHealth Polyclinics (SHP).
Dia diajar cara menyediakan makanan, antara lain, dan mempelajari tip-tip seperti cara menjadikan diet isteri majikannya lebih sihat. Ini termasuk memantau pengambilan karbohidrat.
"(Saya tahu) jika saya memberinya roti pada waktu pagi, (ia) mesti hanya sekeping, kerana jika dua keping ia bersamaan sepinggan nasi," katanya kepada Mediacorp.
ASPEK TEORI DAN AMALI
Kursus selama tiga jam sekali sahaja yang dijalani oleh Cik Rose, yang diajar oleh jururawat, merangkumi lebih daripada pengetahuan perubatan.
Cik Rose perlu menjalani kedua-dua aspek teori dan amali yang merangkumi empat bidang penting - diet, senaman, pengurusan ubat-ubatan, dan menggunakan alat pemantauan untuk tekanan darah dan glukosa.
Inisiatif SHP itu diumumkan beberapa bulan selepas ia meninjau 100 pembantu rumah yang menjaga warga emas.
Kajian skala kecil itu, yang diterbitkan tahun lalu, mendapati bahawa lebih daripada empat daripada 10 pembantu rumah kurang keyakinan untuk melakukan tugas memantau tekanan darah dan glukosa, dan lebih tiga daripada 10 bimbang dari segi menyelia ubat-ubatan.
Ini walaupun lebih lapan daripada 10 warga emas berusia 65 tahun ke atas mempunyai sekurang-kurangnya satu penyakit kronik seperti kencing manis, tekanan darah tinggi atau kolesterol tinggi.
Sepanjang empat bulan lalu, lima sesi latihan telah diadakan secara percuma di poliklinik SingHealth di kawasan-kawasan seperti Tampines dan Bukit Merah.
Lebih 60 pembantu rumah yang menjaga warga emas dengan penyakit kronik, termasuk Cik Rose, serta kira-kira 20 majikan menghadiri sesi tersebut.
SingHealth merancang untuk akhirnya menyediakan latihan sedemikian di semua polikliniknya.
Kumpulan penjagaan kesihatan itu juga bekerjasama dengan para mahasiswa dari Sekolah Perubatan Duke-NUS untuk memperluaskan akses kepada kursus tersebut.
“Daripada pelajaran secara bertemu muka, kami menjadikannya sebagai platform e-pembelajaran, di mana kami membuka peluang kepada pembantu rumah hijrahan untuk mencuba dan pada masa yang sama, kami juga akan meminta majikan menilai mereka,” kata Cik Ang Kim Wai, seorang jururawat amalan lanjutan dari SHP Tampines.
“Selepas mereka melalui keseluruhan modul e-pembelajaran, majikan akan menilai mereka dan melihat sama ada terdapat peningkatan dari segi pengetahuan dan kemahiran mereka,” tambahnya.
Cik Ang berkata bidang khusus yang diliputi dalam sesi tersebut adalah "komponen kritikal" dalam menguruskan penyakit kronik seperti kencing manis, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi.
KEYAKINAN MENINGKAT
Pembantu rumah hijrahan yang menjalani latihan itu juga akan mendapat bimbingan tentang cara-cara melakukan senaman yang sesuai untuk warga emas, serta cara-cara bagi menjaga keselamatan mereka, termasuk mencegah mereka daripada terjatuh.
Majikan Cik Rose, Encik Seow Cheng Seng berkata, dia melihat perubahan ketara pada keyakinan dan keupayaannya untuk menjaga isterinya.
Cik Rose, yang telah bekerja di Singapura selama lebih enam tahun, boleh memperbaiki keadaan kencing manis Cik Seow dengan menyertakan bahan-bahan yang lebih sihat dalam dietnya.
"Saya fikir ia bermanfaat untuk semua pembantu rumah, terutama bagi mereka yang menjaga pesakit demensia yang merupakan tugas yang sangat mencabar," tambah Encik Seow.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.