SingHealth gesa latihan sesuai sedang lebih ramai keluarga gajikan pembantu rumah jaga warga emas

(Gambar: CNA/Syamil Sapari)
SINGAPURA: Beberapa agensi pekerjaan di Singapura menyaksikan lebih ramai orang mengupah pembantu rumah asing untuk menjaga golongan tua dan mereka yang menghidap penyakit kronik.
Sebagai contoh, Orange Employment Agency menyaksikan kenaikan sebanyak 20 peratus berbanding waktu sebelum pandemik. Meskipun agensi itu cuba mencari calon yang sesuai buat majikan, ia bukan perkara yang mudah, kata pemilik syarikat tersebut, Cik Shirley Ng.
"Malangnya, tidak ramai pembantu mempunyai kelayakan memberikan khidmat jagaan yang betul. Apa yang mereka ada adalah pengalaman dari pekerjaan mereka sebelum ini. Bagi saya, ia adalah separuh daripada apa yang diperlukan, sekurang-kurangnya mereka tahu apa yang diharapkan daripada mereka," aktan Cik Ng.
"Majikan di Singapura yang mempunyai ibu bapa yang tua mungkin mempunyai syarat yang tertentu buat pembantunya. Jadi, pembantu tersebut tidak mungkin memenuhi syarat mereka 100 peratus," kata Cik Ng.
HARAPAN MAJIKAN
Satu cabaran dalam isu tersebut adalah sejumlah majikan yang mengharapkan pembantu mereka mahir dalam melakukan kerja rumah dan menjaga warga tua, katanya.
Pengurus umum di Active Global Specialised Caregivers Muhammad Asraf mengatakan perkara yang serupa dan ia merupakan isu yang biasa.
"Saya fikir kekeliruan utama dalam kalangan orang awam adalah mereka ingin seseorang yang dapat melakukan dua pekerjaan. Jadi, jika anda mencari seorang pembantu rumah, pada masa yang sama, mereka harus menjadi seorang penjaga juga," kata Encik Asraf.
PEMBANTU TIDAK YAKIN JAGA GOLONGAN TUA
Satu kajian kecil dilakukan kumpulan jagaan kesihatan SingHealth mendedahkan realiti tentang pembantu rumah yang tidak berpengalaman untuk menjaga golongan tua.
Daripada tinjauan yang melibatkan 100 pembantu rumah yang menjaga golongan tua, Poliklinik SingHealth (SHP) mendapati bahawa lebih empat daripada 10 tidak yakin melakukan tugas memantau tekanan darah dan gula. Lebih tiga daripada 10 ragu-ragu ketika mengendalikan ubat-ubatan yang harus diberikan.
Ini meskipun lebih lapan daripada 10 golongan tua berusia 65 tahun dan ke atas menghidapi sekurang-kurangnya satu penyakit kronik seperti kencing manis, tekanan darah tinggi atau kolestrol tinggi.
Walaupun SHP sudah membantu para pembantu rumah ketika mereka hadir bagi sesi lawatan pesakit, ia sedang mencari kurikulum yang sesuai untuk mereka. Ia juga sedang merancang untuk mengendalikan kelas-kelas dalam bahasa yang digunakan oleh para pembantu.
Sebagai permulaan, ia sedang menyasarkan untuk mengadakan bengkel sekitar akhir tahun untuk melengkapkan pembantu dengan kemahiran sesuai yang berkaitan dengan jagaan golongan tua.
SingHealth akan merintis program itu di Poliklinik Eunos, yang akan bermula dengan 15 pembantu dalam setiap kelas.
Ia merancang untuk mengkaji keberkesanan dan skala program itu, serta menjalinkan kerjasama dengan agensi-agensi pekerjaan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.