Skip to main content

Singapura

Singapura, Vietnam perdalam kerjasama dalam tenaga diperbaharui dan kredit karbon

Anggaran Waktu Membaca:
Singapura, Vietnam perdalam kerjasama dalam tenaga diperbaharui dan kredit karbon

Presiden Halimah Yacob bersama suaminya, Encik Mohamed Abdullah Alhabshee, dan Presiden Vietnam Nguyen Xuan Phuc dengan isterinya, Cik Tran Nguyet Thu, si Istana Presiden di Hanoi pada 17 Oktober 2022. (Gambar: Terence Tan/MCI)

Diterbitkan : 17 Oct 2022 06:37PM Dikemas Kini : 18 Oct 2022 12:36AM
HANOI: Singapura dan Vietnam menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MOU) pada Isnin (17 Oktober) untuk mengukuhkan lagi kerjasama dua hala dalam bidang tenaga yang boleh diperbaharui dan projek kredit karbon.

MOU itu ditandatangani Menteri Tenaga Manusia merangkap Menteri Kedua Perdagangan dan Perusahaan Dr Tan See Leng, dan Menteri Perdagangan dan Perusahaan Vietnam Nguyen Hong Dien
di Istana Presiden di Hanoi dengan disaksikan Presiden Halimah Yacob dan Presiden Vietnam Nguyen Xuan Phuc.

Presiden Halimah kini berada di Vietnam bagi lawatan negara lima hari hingga 20 Oktober.

MOU mengenai Kerjasama Tenaga itu meliputi beberapa bidang kerjasama dalam usaha mencapai masa depan yang lebih mesra alam.

Ia termasuk pembangunan dan pembiayaan tenaga yang boleh diperbaharui serta pembangunan penghubung bagi meningkatkan daya tahan dan kestabilan perdagangan tenaga elektrik rentas sempadan.

Ia juga merintis jalan bagi kerjasama dalam pasaran gas cecair asli dan tenaga elektrik serta penyelidikan dan pembangunan serta penggunaan teknologi dan huraian tenaga rendah karbon seperti hidrogen, amonia dan sistem simpanan tenaga.

Satu MOU berasingan dimeterai berhubung kerjasama dalam kredit karbon dan pasaran karbon, sejajar dengan Artikel 6 Perjanjian Paris. Ia membolehkan negara memindahkan kredit karbon yang diperoleh daripada mengurangkan pelepasan gas rumah hijau untuk membantu memenuhi sasaran iklim negara.

Dua lagi MOU yang dimeterai pada Isnin.

Salah satu perjanjian itu melibatkan Singapura dan Vietnam bertukar-tukar maklumat mengenai keselamatan siber, serangan siber dan jenayah siber untuk mencegah dan mengesan ancaman sedemikian..

Perjanjian lain melibatkan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Singapura dan Direktorat Pendidikan dan Latihan Vokasional (DVET) Vietnam bekerjasama dalam pendidikan dan latihan teknikal dan kejuruan.

Beberapa bidang ini akan meliputi kepimpinan dan tadbir urus, pembangunan infrastruktur, pembinaan kapasiti, serta peningkatan mutu pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional di Vietnam.
Sumber : BERITA Mediacorp/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita