Skip to main content

Singapura

Singapura usul undang-undang untuk tahan pesalah seks jangkaui tempoh hukuman penjara

Singapura mengusulkan pilihan hukuman baharu lebih tegas yang menyasarkan para pesalah berisiko tinggi yang melakukan kesalahan serius seperti merogol atau membunuh.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 10 Jan 2024 02:48PM Dikemas Kini : 11 Jan 2024 12:07AM
SINGAPURA: Singapura mengusulkan pilihan hukuman baharu lebih tegas yang menyasarkan para pesalah berisiko tinggi yang melakukan kesalahan serius seperti merogol atau membunuh.

Di bawah rejim yang diusulkan itu, para pesalah harus menjalani hukuman penjara untuk tempoh minimum selama lima hingga 20 tahun, dan hanya akan dibebaskan daripada penjara jika Menteri Ehwal Dalam Negeri mendapati mereka tidak lagi menimbulkan ancaman terhadap orang awam.

Jika mereka didapati tidak sesuai untuk dibebaskan, para pesalah berkenaan boleh ditahan dalam penjara seumur hidup.

Pada masa ini, para pesalah berkenaan perlu dibebaskan secara automatik selepas tahap tertentu tidak kira bentuk ancaman yang diberikan kepada orang lain.

Rejim itu bertujuan melindungi orang awam daripada para pesalah yang kemungkinan melakukan kesalahan lagi selepas dibebaskan, kata kementerian undang-undang dan kementerian ehwal dalam negeri yang membentangkan Rang Undang-Undang Prosedur Jenayah (Pelbagai Pindaan) di parlimen hari ini (10 Jan).

Kod Prosedur Jenayah merupakan perundangan utama Singapura yang mentadbir urus proses keadilan termasuk hal-hal berkaitan dengan penjatuhan hukuman.

Ia kali terakhir dipinda pada 2018 untuk memperkenalkan rakaman video temu bual dengan suspek yang disyaki melakukan kesalahan seperti merogol.

Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam menyifatkan pindaan yang diusulkan baru-baru ini sebagai "sangat penting" semasa sidang media yang diadakan pada Isnin (8 Jan).

Kedua-dua kementerian menyatakan dalam kenyataan media itu bahawa pilihan hukuman Singapura buat masa ini "tidak mencukupi" untuk menangani "kesalahan yang begitu berat".

"Kami ingin pastikan bahawa para pesalah berisiko tinggi dan berbahaya sedemikian tidak dibebaskan ke pangkuan masyarakat sehingga mereka tidak lagi menimbulkan ancaman kepada keselamatan orang awam," menurut kedua-dua agensi tersebut.

Jika Rang Undang-Undang itu diluluskan, pihak mahkamah boleh mengenakan Hukuman bagi Perlindungan Awam Dipertingkat (SEPP) kepada para pesalah sedemikian.

Encik Shanmugam pertama kali mendedahkan pendekatan itu pada 2022 menyusuli satu rundingan awam.

Hari ini, kedua-dua kementerian juga mempertikaikan satu lagi pilihan hukuman, bagi pesalah bentan.

Hukuman bagi Perlindungan Awam (SPP) boleh menggantikan rejim hukuman sedia ada iaitu latihan pemulihan dan tahanan pencegahan yang merupakan bentuk hukuman tahanan di penjara yang lebih berat.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita