Skip to main content

Singapura

Singapura tuan rumah sulung Kejohanan Silat Nusantara 2025

Anggaran Waktu Membaca:
Singapura tuan rumah sulung Kejohanan Silat Nusantara 2025

200 atlet dari 5 negara - Singapura, Malaysia, Indonesia, Brunei dan Thailand, berentap dalam Kejohanan Silat Nusantara 2025 (Gambar: Hidir Ezat)

SINGAPURA: Buat julung kalinya, Singapura menjadi tuan rumah Kejohanan Silat Nusantara yang menyaksikan penyertaan 200 atlet dari lima negara — Singapura, Malaysia, Indonesia, Brunei dan Thailand.

Kejohanan antarabangsa yang berlangsung dari 28 Mei hingga 1 Jun di Heartbeat@Bedok itu menawarkan 32 acara meliputi kategori tanding dan seni.

Ia dianjurkan oleh Persekutuan Silat Singapura (PERSISI) dan diiktiraf Persekutuan Silat Antarabangsa.

2 peserta dari Singapura menunjukkan bakat mereka ketika Acara Pembukaan Kejohanan Silat Nusantara. (Gambar: Hidir Ezat)

Kata Encik Iqbal, "Pertandingan ini boleh dikatakan sebagai satu kayu ukur bagi atlet di peringkat antarabangsa menjelang Sukan SEA. Bagi atlet kita, itulah tujuannya. Sesetengah daripada mereka yang bertanding buat kali pertama, ini merupakan satu langkah besar. Ia adalah satu langkah awal yang cukup penting untuk mereka menyertai pertandingan ini."

"Ia juga merupakan peluang untuk mereka bertanding di peringkat tempatan bagi menunjukkan kekuatan mereka di tanah air sendiri. Ini merupakan detik yang cukup besar bagi atlet-atlet ini", tambahnya lagi.


"Saya rasa kepentingan acara ini bagi saya ialah saya dapat bertanding di negara sendiri dan benar-benar membanggakan negara saya dan rakan-rakan senegara saya", kata Ahmad Hanin.

"Saya juga dapat sokongan daripada kawan-kawan dan keluarga saya tanpa mereka perlu pergi jauh atau bersusah payah." tambahnya.

Setiausaha Agung PESAKA Malaysia, Puan Bibi Aishah (memakai jaket biru), berharap kejohanan itu akan diteruskan pada masa hadapan. (Gambar: Hidir Ezat)
Sementara itu, Setiausaha Agung PESAKA Malaysia, Puan Bibi Aishah, berharap kejohanan ini dapat diteruskan secara dwitahunan.

"Saya di pihak PESAKA Malaysia amat berterima kasih kepada Persatuan Silat Singapura (PERSISI), kerana menganjurkan kejohanan ini yang julung kali kita adakan di Nusantara. Jadi, saya berharap PERSISI akan terus melaksanakan lagi dalam dua tahun akan datang," katanya.

Beliau menambah bahawa pasukan Malaysia kini dalam latihan menjelang Sukan SEA pada Disember ini dan kejohanan itu memberi peluang kepada atlet baharu untuk menimba pengalaman antarabangsa.

"Memang ini pasukan pertama kami dan kami ingin memberikan pendedahan kepada atlet-atlet baru supaya mereka lebih berani menghadapi lawan di peringkat Sukan SEA nanti. Harapan kami semestinya kejayaan, tapi yang utama ialah prestasi terbaik dari atlet kami. Kalau ada rezeki, insya-Allah kami boleh bawa pulang pingat emas," ujar beliau.
Sumber : BERITA Mediacorp/hd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita