Skip to main content

Singapura

Singapura timbulkan keprihatinan tentang Sungai Johor, capai bekalan air mampan bagi kedua-dua negara

Singapura menimbulkan keprihatinannya kepada kerajaan Malaysia berhubung pencemaran dan penghasilan air di Sungai Johor dalam jangka panjang, kata PMi Lee Hsien Loong pada Selasa (Apr 9) sambil menambah bahawa memastikan bekalan air yang berdaya tahan adalah kepentingan kedua-dua negara.

Anggaran Waktu Membaca:
Singapura timbulkan keprihatinan tentang Sungai Johor, capai bekalan air mampan bagi kedua-dua negara

Paip air yang berjalan di sepanjang Causeway antara Singapura dengan Malaysia. (Gambar fail: Jeremy Long)

Diterbitkan : 09 Apr 2019 03:00PM Dikemas Kini : 09 Apr 2019 03:02PM

PUTRAJAYA: Singapura menimbulkan keprihatinannya kepada kerajaan Malaysia berhubung pencemaran dan penghasilan air di Sungai Johor dalam jangka panjang, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Selasa (Apr 9) sambil menambah bahawa memastikan bekalan air yang berdaya tahan adalah kepentingan kedua-dua negara.

Encik Lee bercakap di satu sidang media bersama pada Retreat Pemimpin dengan rakan sejawatannya dari Malaysia, Dr Mahathir Mohamad.

Beliau menarik perhatian bahawa baru minggu lalu, sistem pengurusan bekalan air di Kota Tinggi yang dikendalikan agensi air Singapura PUB, terpaksa ditutup kerana paras ammonia yang tinggi.

Sungai Johor tercemar setelah sebuah kolam tadahan di pusat biokomposit bersebelahan sebuah kilang penapisan minyak kelapa sawit di Sedenak bocor, menyebabkan air yang tercemar mengalir ke dalam sungai itu.

Menurut laporan media Malaysia, bekalan air kepada sekitar 17,000 rumah di Kulai, Malaysia terganggu akibat insiden itu.

Encik Lee berkata jika Sungai Johor mengalami insiden serupa seperti apa yang terjadi di Sungai Kim Kim, kesannya akan membawa "malapetaka untuk kedua-dua negara".

Pada Mac, ribuan orang jatuh sakit selepas berlakunya pembuangan sisa kimia secara haram ke dalam Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor. Ramai orang dimasukkan ke hospital, termasuk murid-murid di sekolah-sekolah berdekatan. Lebih 100 sekolah diarahkan tutup. Sembilan orang kemudian diberkas.

BEKALAN AIR MAMPAN AKAN KURANGKAN POTENSI KONFLIK

Semasa sidang media bersama, Encik Lee menarik perhatian bahawa Johor sudah membina loji-loji air di Sungai Johor dengan sistem pengurusan bekalan air PUB terletak di hulu sungai tersebut di Kota Tinggi.

Beliau berkata loji-loji tersebut, dengan sistem pengurusan bekalan air PUB di Kota Tinggi, mungkin boleh menjana lebih banyak air daripada yang boleh disediakan sungai tersebut.

Beliau menekankan perlunya kajian untuk memenuhi keperluan air Johor dan Singapura sehingga tempoh Perjanjian Air berakhir, tambahnya.

Perjanjian Air 1962, yang tamat pada 2061, membenarkan Singapura mengeluarkan air sebanyak 250 juta gelen sehari (mgd) dari Sungai Johor.

Singapura membayar 3 sen bagi seribu gelen air mentah dan menjual balik air yang dirawat kepada Johor pada harga 50 sen bagi seribu gelen, sebahagian kecil kos rawatan air.

Sementara itu Johor berhak mendapatkan bekalan air terawat harian sehingga 2 peratus atau 5 mgd air daripada air yang dibekalkan kepada Singapura. Bagaimanapun Singapura membekalkan 16 mgd air terawat kepada Johor atas permintaannya.

Malaysia sebelum ini mengakui pihaknya memilih untuk tidak meminta supaya perjanjian pada 1987 dikaji semula kerana ia meraih manfaat daripada persetujuan harga itu.

"Adalah kepentingan kedua-dua negara untuk bekerjasama agar memastikan bekalan air yang mampan bagi kedua-dua pihak, demi mengurangkan potensi konflik pada masa hadapan," kata Encik Lee.

Beliau menambah: "Kami bersetuju AG (Peguam Negara) kedua-dua patut meneruskan dialog mereka dan memahami sudut pandangan dan keprihatinan masing-masing." 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita