Singapura tambah bekalan air bersih ke M'sia atas permintaan Johor
Agensi air Singapura PUB pada Ahad (6 Jan) menyatakan ia menambah bekalan air yang sudah dirawat ke Malaysia minggu ini setelah pencemaran mengganggu penghasilan di loji air Johor.
(Gambar: AFP)
SINGAPURA: Agensi air Singapura PUB pada Ahad (6 Jan) menyatakan ia menambah bekalan air yang sudah dirawat ke Malaysia minggu ini setelah pencemaran mengganggu penghasilan di loji air Johor.
"Penghasilan di loji air Johor terganggu baru-baru ini oleh pencemaran di sungai tadahan. Johor River Waterworks kepunyaan PUB tidak terjejas oleh insiden tersebut," menurut PUB dalam satu kenyataan.
"Atas permintaan Johor, PUB membantu penduduk Johor mengatasi gangguan bekalan air dengan menghidupkan 'offtake' Pasir Gudang PUB dan membekalkan tambahan 6 juta gelen air dirawat sehari antara 2 hingga 4 Januari 2019.
"Ini jumlah tambahan selain air sebanyak 16 juta gelen sehari yang biasa dibekalkan ke Johor," tambah PUB.
Singapura diperlukan untuk membekalkan 5 juta gelen air sehari ke Johor, menurut PUB yang merujuk kepada Perjanjian Air 1962.
"Mengikut amalan, kami membekalkan air yang sudah dirawat sebanyak 16 juta gelen sehari ke Johor atas permintaan mereka. Selain itu, antara 2 hingga 4 Januari 2019, kami membekalkan tambahan 6 juta gelen sehari air dirawat (sebagai tambahan kepada bekalan 16 juta gelen air sudah dirawat sehari) ke Johor apabila ia memerlukan lebih banyak air kerana loji airnya mengalami pencemaran.
"Tahun lalu, kami juga membekalkan air tambahan, melebihi bekalan biasa 16 juta gelen sehari, selama 20 hari atas permintaan Johor," menurut agensi itu.
PUB menambah ia membekalkan semua air sudah dirawat itu melebihi 5 juta gelen sehari "atas dasar muhibah pada harga sama yang ditetapkan di bawah Perjanjian Air 1962".
Harganya, menurut agensi itu, adalah 50 sen bagi setiap 1,000 gelen, "hanya sebahagian kecil harga merawat air".
"Ini dilakukan tanpa menjejas hak kita ke atas Perjanjian Air 1962," menurut PUB, yang menekankan "kerjasama sekian lama antara agensi air kedua-dua negara".
"PUB sejauh ini amat responsif dalam membantu penduduk Johor untuk mengurangkan kesan gangguan bekalan air mereka, atas dasar muhibah antara jiran," tambahnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.