Singapura sokong projek perintis vaksin influenza mRNA sebagai persiapan hadapi pandemik
Singapura merancang menyokong inisiatif perintis vaksin influenza mRNA di negara ini, kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada Rabu (23 Sep).
- Singapore plans to support a pilot mRNA influenza vaccine initiative to build capabilities that can be adapted during a crisis and meet routine needs.
- Ong Ye Kung said Hilleman Laboratories, together with partners such as Sanofi, GSK, Moderna, Thermo Fisher Scientific and MSD, is important for maintaining active vaccine production.
- Hilleman’s facility in Singapore is helping with the Bundibugyo Ebola vaccine candidate, with early test materials expected to be ready by the end of this year.
- Singapore also emphasised genomic surveillance, data sharing through GISAID, aligning PrepVax with CEPI’s 100-day mission, and global cooperation to tackle Disease X.
- Singapura merancang menyokong inisiatif perintis vaksin influenza mRNA bagi membina keupayaan yang boleh disesuaikan semasa krisis dan memenuhi keperluan biasa.
- Ong Ye Kung berkata Hilleman Laboratories, bersama rakan seperti Sanofi, GSK, Moderna, Thermo Fisher Scientific dan MSD, penting untuk mengekalkan pengeluaran vaksin aktif.
- Kemudahan Hilleman di Singapura sedang membantu calon vaksin Ebola Bundibugyo, dengan bahan ujian awal dijangka siap menjelang akhir tahun ini.
- Singapura turut menekankan pemantauan genom, perkongsian data melalui GISAID, penyelarasan PrepVax dengan misi 100 hari CEPI, dan kerjasama global menghadapi Penyakit X.
SINGAPURA: Singapura merancang menyokong inisiatif perintis vaksin influenza mRNA di negara ini, kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada Rabu (23 Sep).
Berucap di acara sampingan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Kesiapsiagaan dan Tindak Balas Wabak di New York, Encik Ong berkata inisiatif itu dapat memenuhi keperluan dalam keadaan biasa, di samping membantu Singapura membangunkan keupayaan yang boleh disesuaikan apabila diperlukan.
Beliau berharap Hilleman Laboratories dapat menyokong usaha tersebut.
Hilleman, sebuah pertubuhan penyelidikan vaksin, membuka secara rasmi kemudahan pengeluaran vaksin bernilai AS$20 juta di Singapura pada 2023.
Encik Ong berkata Singapura turut bekerjasama dengan syarikat seperti Sanofi, GSK, Moderna dan Thermo Fisher Scientific, yang mempunyai keupayaan dalam pelbagai platform dan pengeluaran vaksin.
Menurut beliau, perancangan dan pelaburan terbaik sekalipun belum tentu menghasilkan vaksin paling berkesan ketika berlaku krisis.
"Malah, saya boleh katakan kebanyakannya mungkin tidak akan berjaya. Vaksin itu mungkin ditemukan dan dibangunkan oleh mana-mana pasukan penyelidikan di seluruh dunia," kata Encik Ong.
Oleh itu, kemudahan pengeluaran vaksin perlu berupaya mendapatkan lesen, menerima pemindahan teknologi dan menyesuaikan barisan pengeluaran dengan pantas.
Kemudahan tersebut juga perlu terus beroperasi ketika tiada krisis dengan menghasilkan vaksin yang diperlukan dan mengekalkan kesiapsiagaan operasi.
"Anda tidak boleh sekadar menghidupkan semula kilang yang tidak beroperasi ketika berlaku kecemasan dan mengharapkan semuanya berjalan lancar," kata Encik Ong sambil menambah bahawa "kesiapsiagaan merupakan keupayaan yang perlu sentiasa dikekalkan".
VAKSIN EBOLA BUNDIBUGYO
Encik Ong turut mengumumkan bahawa kemudahan Hilleman di Singapura sedang menyesuaikan kepakaran pengeluaran daripada vaksin virus Ebola Zaire, ERVEBO, keluaran MSD bagi mempercepatkan pembangunan calon vaksin Bundibugyo, dengan sokongan Gabungan bagi Inovasi Kesiapsiagaan Epidemik (CEPI).
Pada masa ini, belum ada vaksin atau ubat yang diluluskan bagi virus Ebola Bundibugyo.
Kemudahan itu akan menghasilkan bahan untuk ujian klinikal peringkat awal, dengan kelompok pertama dijangka tersedia menjelang akhir tahun ini.
Menurut Encik Ong, kapasiti pengeluaran Hilleman membolehkannya menghasilkan bahan ubat bersamaan 50 juta hingga 60 juta dos, atau 12 juta dos produk ubat setahun bagi vaksin tersebut.
Bergantung kepada keperluan, Hilleman juga boleh mengaturkan pemindahan teknologi kepada pengeluar berskala lebih besar di rantau ini.
Encik Ong berkata usaha itu menunjukkan "kesiapsiagaan dalam tindakan".
“Sains sedia ada, kemudahan yang terus beroperasi dan rakan kerjasama yang dipercayai untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran – semua ini dapat memendekkan tempoh daripada munculnya ancaman hingga tindak balas dilaksanakan sepenuhnya,” tambah beliau.
"Ia menawarkan satu pendekatan yang mungkin dapat digunakan untuk menangani Penyakit X pada masa depan."
Menurut CEPI, Penyakit X ialah istilah bagi patogen yang belum diketahui dan berpotensi muncul pada masa depan serta menyebabkan epidemik atau pandemik antarabangsa yang serius.
SUMBANGAN KHUSUS
Sekiranya usaha serantau terjejas ketika berlaku kecemasan, Singapura bersama rakan kerjasamanya boleh memberikan "sumbangan khusus", kata Encik Ong.
Beliau menggariskan beberapa bidang utama, termasuk sistem pemantauan global yang berwaspada bagi mengesan patogen berbahaya pada peringkat awal. Sistem itu memerlukan platform yang membolehkan saintis dan pemerintah berkongsi data secara terbuka dan pantas.
Singapura sudah bekerjasama rapat dengan GISAID, pangkalan data genom antarabangsa utama bagi SARS-CoV-2, mpox dan virus influenza.
Encik Ong turut mengetengahkan bagaimana Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan Singapura mengesan satu bentuk rekombinan SARS-CoV-2, virus yang menyebabkan COVID-19, menerusi pemantauan genom rutin pada lewat Julai.
Ketika penilaian dilakukan, ia merupakan satu-satunya jujukan sedemikian yang dikesan di Singapura dan tiada jujukan yang hampir sepadan ditemukan dalam pangkalan data GISAID.
Pesakit hanya mengalami gejala ringan dan sudah pulih, manakala tiada kes tempatan lain dikesan. Jujukan tersebut kemudian dimuat naik ke platform GISAID untuk dianalisis di peringkat global.
"Sesebuah negara yang melaporkan patogen luar biasa mungkin bimbang ... mengenai kesannya terhadap reputasi atau ekonomi," kata Encik Ong.
"Jawapannya bukan dengan melengahkan laporan, tetapi membina norma antarabangsa yang mengiktiraf ketelusan sebagai tindakan bertanggungjawab."
Encik Ong turut menggesa sokongan terhadap misi 100 hari CEPI, yang menurut beliau sudah mencapai kemajuan besar dalam usaha membangunkan vaksin yang selamat, berkesan dan mudah diakses untuk mendapatkan kelulusan awal serta memulakan pengeluaran berskala besar dalam tempoh 100 hari selepas ancaman pandemik dikenal pasti.
"Strateginya adalah untuk melakukan sebanyak mungkin persiapan sebelum krisis berlaku dengan membangunkan koleksi prototaip vaksin bagi virus yang mewakili pelbagai ancaman, mengesahkan platform yang boleh disesuaikan serta menyediakan makmal, rangkaian ujian klinikal, pengeluar dan pengawal selia supaya dapat bergerak seiring."
Singapura sedang menyelaraskan usaha pembangunan vaksinnya menerusi inisiatif penyelidikan PrepVax dengan misi CEPI, kata Encik Ong.
PrepVax merupakan program kebangsaan yang ditubuhkan Kementerian Kesihatan (MOH) untuk menyelaraskan keupayaan pembangunan vaksin merentasi institusi awam dan swasta di Singapura.
Vaksin juga perlu dinilai, diluluskan dan digunakan dengan pantas tanpa menjejas keselamatan serta mutu.
Menurut Encik Ong, kepercayaan yang dipupuk sebelum berlaku krisis membolehkan pihak berkuasa bergantung kepada penilaian satu sama lain, berkongsi beban kerja dan mengurangkan pertindihan. Ini penting kerana ketika krisis, pengawal selia sering perlu bertindak segera berdasarkan maklumat yang belum lengkap.
Penyakit X berkemungkinan bersifat baharu, membawa maut dan merebak dengan pantas. Namun, Encik Ong berkata teknologi mRNA mungkin menawarkan fleksibiliti paling besar dari segi pembangunan dan tempoh untuk membawa vaksin ke pasaran.
Atas sebab itu, Singapura merancang menyokong inisiatif perintis vaksin influenza berasaskan mRNA.
"Untuk bersiap sedia menghadapi Penyakit X, kita mesti menolak sikap menafikan, stigma, ketidakadilan dan kecenderungan untuk berlindung di sebalik sempadan negara ketika kerjasama global paling diperlukan," katanya.
"Kita perlu bekerjasama, meletakkan keyakinan pada sains dan menyediakan pelan yang saling melengkapi lebih awal.
"Wabak seterusnya tidak akan menunggu kita menyelesaikan setiap kelemahan dan perselisihan. Oleh itu, kesiapsiagaan perlu dibina sekarang – dengan sabar, secara praktikal dan bersama-sama."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.