Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Singapura, Shanghai intai kerjasama lebih mendalam bagi perkukuh hubungan dua hala

Masih ada ruang untuk Singapura dan Shanghai tingkatkan kerjasama dan meraih lebih manfaat daripada hubungan dua hala, serta hubungan Sino-Singapura yang lebih meluas.

Anggaran Waktu Membaca:
SHANGHAI: Masih ada ruang untuk Singapura dan Shanghai tingkatkan kerjasama dan meraih lebih manfaat daripada hubungan dua hala, serta hubungan Sino-Singapura yang lebih meluas.

Demikian menurut pemimpin dari kedua-dua negara pada Khamis (28 Nov).

"Kami lihat ada banyak kemungkinan untuk lakukan lebih banyak usaha bersama," kata Menteri Kanan Lee Hsien Loong dalam satu pertemuan bersama ketua parti Shanghai Chen Jining di kompleks Grand Halls di hab kewangan China itu.

Encik Lee kini berada di China untuk melakukan lawatan rasmi selama enam hari.

"Sekitaran antarabangsa sedang bergolak, namun ini hanya bermakna bahawa antara rakan-rakan kongsi yang bersependapat, kita perlu bekerja lebih keras lagi untuk mencari peluang bekerjasama dan mencapai aturan yang menguntungkan kedua-dua belah pihak," kata Encik Lee yang mengulangi komennya itu pada Selasa (26 Nov) dalam pertemuannya dengan Presiden China Xi Jinping di Beijing.

Encik Chen menyifatkan Encik Lee sebagai "rakan setia" penduduk China, komited untuk memupuk kerjasama dua hala yang muhibah sepanjang beberapa tahun ini.

Ketua parti Shanghai itu juga menarik perhatian bagaimana Shanghai memainkan "peranan penting" dalam kerjasama antara China dengan Singapura.

Beliau menarik perhatian kepada pemeteraian memorandum persefahaman pada 2019 yang bertujuan memperdalam kerjasama dalam bidang-bidang seperti khidmat kewangan, teknologi dan inovasi, pentadbiran bandar dan pertukaran antara penduduk.

"Sepanjang lima tahun lalu, kerjasama antara Shanghai dengan Singapura telah membuahkan hasil memberangsangkan, di mana perdagangan dua hala naik sebanyak 20 peratus," kata Encik Chen, yang merupakan seorang ahli saintis alam sekitar dan mempunyai ijazah PhD dari Kolej Imperial London dalam jurusan kejuruteraan sekitaran dan sivil.

"Sebagai pemerintah tempatan, Shanghai komited dalam memberi sumbangan lebih besar kepada pembangunan hubungan dua hala kami."

Setakat Jun 2023, Singapura adalah pelabur asing terbesar Shanghai.

Keseluruhan pelaburan sebenar mencapai AS$25.99 bilion (S$34.9 bilion) pada separuh pertama 2024.

Setakat hujung tahun 2022, Shanghai juga adalah destinasi pelaburan kedua terbesar Singapura di China, selepas wilayah Jiangsu.

Encik Lee berkongsi bahawa beliau telah melawat Shanghai beberapa kali sepanjang lebih 30 tahun.

"Dan setiap kali saya datang kembali, saya berasa gembira apabila melihat bandar ini semakin makmur, membangun, lebih meriah dengan pelbagai industri baharu dan idea baharu dan kemungkinan baharu," katanya.

"JAMBATAN MENGHUBUNGKAN SINGAPURA DENGAN SHANGHAI"

Encik Lee berkata terdapat sebilangan masyarakat Singapura yang bermastautin dan bekerja di sekitar Shanghai, serta kehadiran syarikat-syarikat Singapura dan firma-firma yang mempunyai kaitan dengan Singapura, yang menjadikan Shanghai sebagai pangkalan bagi operasi mereka di China.

"Mereka adalah jambatan yang menghubungkan Singapura dengan Shanghai. Mereka juga adalah duta yang mewakili Singapura dan membantu penduduk Shanghai memahami Singapura dengan lebih baik dan ingin meningkatkan kerjasama dengan Singapura," kata Encik Lee.

Encik Lee bertemu dengan beberapa pemimpin perniagaan Singapura di Shanghai pada awal Khamis.

Pelaburan dari Singapura ke Shanghai sebahagian besar tertumpu pada sektor hartanah, khidmat kewangan, pengeluaran, gaya hidup dan pengguna.

Antara syarikat-syarikat ternama dari Singapura yang melabur di Shanghai termasuk CapitaLand, Keppel dan DBS.

Encik Lee dijadual bertemu dengan rakyat Singapura di Shanghai pada lewat petang Khamis.

Beliau akan menggulung lawatannya ke China pada Jumaat.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan