Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Singapura sedia bekerjasama dengan Mesir bagi memajukan tindakan iklim COP 27

Perdana Menteri Lee Hsien Loong menzahirkan sokongan Singapura terhadap Mesir sebagai tuan rumah Persidangan ke-27 Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Perubahan Iklim yang akan diadakan di Sharm El Sheikh pada November 2022 atau COP-27.

Anggaran Waktu Membaca:
Singapura sedia bekerjasama dengan Mesir bagi memajukan tindakan iklim COP 27

PM Lee Hsien Loong adakan pertemuan dengan Menteri Ehwal Luar Mesir Sameh Shoukry. (Gambar: MCI)

SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong menzahirkan sokongan Singapura terhadap Mesir sebagai tuan rumah Persidangan ke-27 Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Perubahan Iklim yang akan diadakan di Sharm El Sheikh pada November 2022 atau COP-27.

Encik Lee berkata demikian dalam pertemuannya dengan Menteri Luar Mesir Sameh Shoukry, yang sedang melakukan lawatan rasmi dua hari di sini, menurut satu kenyataan Kementerian Luar pada Khamis (17 Mac).

Encik Sameh Shoukry berada di Singapura sebagai sebahagian daripada kunjungannya ke Asia.

Dalam pertemuan di Istana itu, kedua-dua pemimpin mengesahkan semula hubungan yang sudah lama terjalin antara kedua-dua negara.

Menurut PM Lee, Mesir merupakan antara negara pertama untuk mengiktiraf kemerdekaan Singapura.

Sehubungan itu, PM Lee turut melahirkan penghargaan kepada Presiden Mesir Abdelfattah Al Sisi atas undangannya untuk menghadiri sidang puncak COP-27 itu.

Encik Shoukry juga mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin lain Singapura termasuk Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras Keselamatan Negara Teo Chee Hean.

Encik Teo juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Berbilang Kementerian mengenai Perubahan Iklim Singapura (IMCCC).

Encik Teo berkongsi kesediaan Singapura untuk bekerjasama dengan Mesir dan negara-negara lain untuk memajukan tindakan iklim global dan mengukuhkan kerjasama dua hala dalam isu-isu berkaitan kemampanan dan sekitaran.

Selain itu, kedua-dua pemimpin juga membincangkan perkembangan keselamatan global dan serantau serta menggariskan kepentingan bersama kedua-dua negara untuk mengukuhkan kerjasama keagamaan dan menggalakkan dialog silang agama.

Encik Shoukry juga dijamu sarapan pagi oleh Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan dan Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Menteri Kedua Ehwal Luar merangkap Menteri Kedua Pendidikan Dr Mohamed Maliki Osman.

Dr Balakrishnan berkongsi bahawa ramai pelajar Singapura yang menuntut di Universiti Al Azhar pulang ke Singapura untuk berkhidmat bagi masyarakat Islam di sini, termasuk Mufti yang baru dan lama.

Selain itu, Encik Shoukry juga mengadakan pertemuan dengan Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu dan diraikan dalam jamuan tengah hari oleh Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli.

Dalam catatan Facebook hari ini (17 Mac), Encik Masagos berkata Mesir kekal menjadi rakan kerja utama dalam pendidikan dan pengajaran agama Islam di Singapura.

"Mereka pulang dan menjadi guru-guru agama kita, serta pemimpin kanan agama kita. Saya mengucapkan terima kasih kepada Menteri Sameh Shoukry atas kerjasama yang kukuh terutama sekali dalam membangunkan asatizah kami dan melengkapkan mereka dengan keupayaan yang diperlukan untuk membimbing masyarakat Islam di Singapura dengan berkesan," kata Encik Masagos.

Sehubungan itu, Encik Masagos berkata beliau berkongsi dengan Encik Shoukry tentang rancangan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) untuk menganjurkan Seminar Masyarakat Islam Gemilang dalam Konteks Masyarakat Sekular (ICCOS) pada September ini.

"Saya mengalu-alukan kerjasama lebih erat antara kedua-dua negara kami, dan untuk mengunjungi Mesir sekali lagi sedang kami mencatatkan kemajuan ke arah meneruskan kehidupan dengan COVID-19," kata Encik Masagos.

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan