Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Singapura sambung semula langkah COVID-19 diperkemas bermula 15 Mac

Singapura akan melaksanakan langkah-langkah pengurusan selamat COVID-19 yang diperkemas pada 15 Mac memandangkan gelombang Omicron sudah mencapai tahap kemuncaknya. Demikian diumumkan pengerusi bersama Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) Gan Kim Yong pada Jumaat (11 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 11 Mar 2022 07:10PM Dikemas Kini : 11 Mar 2022 10:04PM

SINGAPURA: Singapura akan melaksanakan langkah-langkah pengurusan selamat COVID-19 yang diperkemas pada 15 Mac memandangkan gelombang Omicron sudah mencapai tahap kemuncaknya. Demikian diumumkan pengerusi bersama Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) Gan Kim Yong pada Jumaat (11 Mac).

Langkah-langkah tersebut, meliputi peraturan jarak selamat, jumlah tetamu rumah yang dibenarkan, diumumkan bulan lalu namun ia terpaksa ditunda dek lonjakan kes COVID-19.

“Kami akan mengekalkan langkah-langkah pengurusan selamat utama seperti pemakaian pelitup dan saiz kumpulan dalam perhimpunan sosial dan makan di luar. Jadi ini bukan satu pelonggaran tetapi langkah memperhalusi (peraturan)," tekan Encik Gan yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan.

“Memperkemas SMM (langkah-langkah pengurusan selamat) adalah penting kerana ia akan memudahkan perniagaan dan indvidu untuk memahami serta mematuhinya selain juga menggalak sikap bertanggungjawab peribadi yang lebih tinggi."

Peraturan yang diperhalusi itu akan memberi tumpuan kepada lima perkara - saiz kumpulan, pemakaian pelitup, peraturan di tempat kerja, jaga jarak selamat dan had kapasiti.

Perhimpuanan sosial kekal dalam kumpulan lima orang. Namun seperti diumumkan sebelumnya, jumlah maksimum pelawat unik bagi setiap rumah akan disesuaikan dari lima orang sehari kepada lima orang pada satu-satu masa.

“Ini boleh dianggap sebagai pelonggaran langkah kerana kebanyakan jangkitan tidak berlaku di rumah. Bagaimanapun, keluarga biasanya tidak menerima beberapa kumpulan tetamu di luar musim perayaan dan mereka yang mahu berjumpa dengan beberapa kumpulan rakan sudahpun melakukannya di luar rumah mereka," jelas Kementerian Kesihatan (MOH) dalam satu kenyataan media.

“Kami menggesa setiap orang agar terus mengamalkan kawalan diri daripada bertemu beberapa kumpulan rakan, baik di luar mahupun di dalam rumah, terutamanya jika anda tinggal dengan individu mudah terdedah."

Mulai 15 Mac, kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah yang tidak divaksin juga tidak perlu menjadi anggota yang tinggal serumah untuk disertakan sebagai satu kumpulan.

Memakai pelitup akan terus menjadi aturan pilihan, kata pengerusi bersama MTF Lawrence Wong. Dalam persekitaran yang memerlukan pemakaian pelitup, peraturan jaga jarak selamat tidak lagi diperlukan meskipun ia digalakkan, tambahnya.

Jaga jarak selamat tetap satu kemestian bagi semua persekitaran yang tidak memerlukan pemakaian pelitup, tekan Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan.

Garis panduan jarak selamat akan diperkemas pada 1 meter bagi semua persekitaran, menurut MOH.

“Bagaimanapun, kita masih perlu berwaspada terhadap perhimpuan kumpulan yang besar sekalipun jika mereka memakai pelitup. Lantaran itu, kami akan mengenakan had kapasiti," tambahnya.

HAD SAIZ ACARA

Jumlah peserta acara akan ditetapkan berdasarkan kapasiti tempat berkenaan, kata Encik Wong.

Had kapasiti tertentu bagi acara seperti khidmat keagamaan, acara perniagaan, pengebumian, pernikahan, jamuan perkahwinan dan kelas yang memerlukan pemakaian pelitup akan ditarik balik, menurut MOH.

Peraturan yang menetapkan zon juga akan digugurkan memandangkan "perlindungan utama" adalah melalui pelitup dan vaksinasi COVID-19, tambahnya.

Bagi persekitaran atau acara dengan 1,000 orang atau kurang, ia boleh diteruskan tanpa tertakluk kepada mana-mana had kapasiti, menurut MOH.

Namun, untuk acara dan persekitaran berskala besar dengan lebih 1,000 orang, had kapasiti sebanyak 50 peratus akan dikenakan "sebagai langkah berjaga-jaga" kerana "risiko jangkitan lebih tinggi", tambah kementerian itu.

Ini termasuk tempat daya tarikan, pesiaran, MICE, acara besar berkaitan kerja selain lokasi seni persembahan yang besar serta stadium sukan.

Di tempat kerja pula, aturan sedia ada untuk membenarkan sehingga 50 peratus pekerja yang boleh bekerja dari rumah untuk kembali ke pejabat akan diteruskan, kata Encik Wong.

Seperti diumumkan MTF sebelum ini, peraturan bagi perhimpunan sosial kini dikenakan di tempat kerja dan persekitaran sosial lain selagi saiz kumpulan umum dan syarat memakai pelitup dipatuhi, menurut MOH.

“Sedang kegiatan ekonomi beransur pulih, kami juga akan menggugurkan sekatan tertentu melibatkan pengerahan silang pekerja ditempat kerja walaupun majikan mungkin terus berbuat demikian bagi tujuan kesinambungan perniagaan, tambahnya.

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan