Skip to main content

Singapura

Singapura perkukuh hubungan dan teroka peluang kerjasama dengan Timur Tengah dan Asia Tenggara: Dr Maliki

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Menteri Kedua Ehwal Luar, Dr Mohamad Maliki Osman berkata Singapura akan terus memperdalam hubungan dengan negara-negara di Timur Tengah melalui pelbagai inisiatif strategik.

Salah satu tumpuan utama adalah hubungan dengan Arab Saudi yang sedang mengalami perubahan sosio-ekonomi pesat di bawah pelan induk Wawasan 2030 kata Dr Maliki semasa berucap dalam perbahasan peruntukan Kementerian Ehwal Luar (MFA) di Parlimen pada Isnin (3 Mac).

"Singapura akan menubuhkan Majlis Perkongsian Strategik yang akan dipengerusikan bersama oleh Perdana Menteri Lawrence Wong dan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed Bin Salman. Platform baharu ini akan membolehkan kedua-dua pemimpin merangka hala tuju strategik hubungan dua hala kita," ucap Dr Maliki.

KERJASAMA TERUS DIPERKUKUH DENGAN TIMUR TENGAH

Amiriah Arab Bersatu (UAE). (Gambar: Giuseppe Cacace/AFP)

Beliau turut menekankan bahawa UAE kekal sebagai rakan dagangan terbesar Singapura, dengan kerjasama yang terus berkembang dalam pelbagai bidang, termasuk Kecerdasan Buatan (AI) dan tenaga nuklear awam.

Selain itu, Singapura dan Qatar berkongsi kepentingan bersama dengan kerjasama yang semakin kukuh, termasuk melalui Mekanisme Pemantauan Pelaksanaan ke-3 yang akan diadakan tahun ini.

Oman pula menawarkan peluang baharu bagi syarikat Singapura, terutama dalam ekonomi digital, tenaga boleh diperbaharui, dan keselamatan.

SINGAPURA PERKUKUH HUBUNGAN DENGAN NEGARA JIRAN

Walaupun Singapura meneroka peluang baharu di luar rantau ini, kejayaan dan masa depannya tetap terikat erat dengan Asia Tenggara.

Dr Maliki menegaskan bahawa Singapura akan terus memperkukuhkan hubungan dengan negara jiran seperti Malaysia, Brunei, Indonesia, dan Thailand, terutamanya melalui kerjasama dalam tenaga boleh diperbaharui, pembangunan modal insan, dan perdagangan digital.

RTS. (Gambar: CNA/Jeremy Long)

"Bersama Malaysia, terdapat kehendak politik yang kuat untuk bekerjasama atas dasar manfaat bersama. Selain Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Sistem Gerak Cepat Singapura - Johor Bahru (RTS) Link, Singapura sedang meneroka inisiatif dua hala lain, termasuk kerjasama tenaga boleh diperbaharui, serta cara untuk menjadikan rantaian bekalan kita lebih berdaya tahan memandangkan saling kebergantungan kita yang mendalam," menurut Dr Maliki.

Hubungan istimewa antara kedua-dua Singapura dan Brunei pula terus diperkukuh melalui kerjasama dalam pembangunan lestari, pendidikan, sektor awam, dan keselamatan makanan.

Singapura juga mencapai kemajuan dalam kerjasama dengan Indonesia, terutama dalam tenaga boleh diperbaharui dan pembangunan modal insan.

"Kami bekerjasama dengan Indonesia untuk mempercepatkan peralihan tenaga hijau, termasuk kelulusan bersyarat bagi lima projek yang akan mengimport 3.4 gigawatt tenaga rendah karbon dari Indonesia dalam tempoh lima tahun," jelas Dr Maliki.

Sementara itu, hubungan dengan Thailand diperkukuh melalui pembayaran digital rentas sempadan, manakala Singapura dan Vietnam bakal meningkatkan hubungan kepada Perkongsian Strategik Komprehensif.

Singapura juga terlibat dalam usaha membangunkan tenaga boleh diperbaharui dan pasaran karbon bersama Kemboja, Laos, Filipina, dan Thailand.

SG KOMITED PERKUKUH INTEGRASI EKONOMI ASEAN

ASEAN. (Gambar: ANTARA)

Singapura terus berusaha mengukuhkan integrasi ekonomi di rantau ini dengan mengurangkan halangan perdagangan dan pelaburan dalam ASEAN serta bersama rakan luar.

"Kami akan menaik taraf Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) dan menyelesaikan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) tahun ini," kata Dr Maliki

Selain itu, Singapura turut mengambil langkah konkrit bagi membangunkan ASEAN Power Grid sebagai usaha memastikan masa depan yang mampan dan selamat.

"Rantau yang lebih saling berhubung akan membantu setiap negara memenuhi permintaan tenaga yang semakin meningkat dan kekal berdaya tahan dalam menghadapi sebarang gangguan," tambahnya.

SOKONG USAHA ASEAN DALAM KRISIS MYANMAR

ASEAN. (Gambar fail: AFP)

Singapura juga menegaskan kepentingan mengekalkan keamanan dan kestabilan di Asia Tenggara bagi mencapai matlamat ASEAN yang lebih dinamik, bersepadu, dan berdaya tahan.

"Inilah sebabnya kita terus memberi perhatian rapat kepada Myanmar," kata Dr Maliki, sambil menyatakan bahawa kemajuan dalam pelaksanaan Konsensus Lima Perkara ASEAN sejak April 2021 masih terhad.

"Singapura telah mengambil pendirian berprinsip, selaras dengan resolusi Perhimpunan Agung PBB yang menyeru negara-negara anggota PBB untuk menghalang aliran senjata ke Myanmar. Larangan kita termasuk barangan dwiguna yang telah dinilai mempunyai potensi aplikasi ketenteraan dan di mana terdapat risiko serius ia mungkin digunakan untuk menimbulkan keganasan terhadap orang awam yang tidak bersenjata.

"Pada masa yang sama, adalah penting untuk diperhatikan bahawa Pemerintah Singapura tidak bertujuan untuk menghalang perdagangan sah dengan Myanmar. Kita telah sangat berhati-hati untuk mengelakkan secara tidak sengaja menyebabkan kesusahan yang lebih besar kepada rakyat Myanmar," kata beliau.

Tambahnya ASEAN akan terus menangani isu ini selaras dengan Konsensus Lima Perkara berdasarkan keputusan yang dibuat oleh Para Pemimpin ASEAN.

Beliau menegaskan bahawa Singapura akan terus menyokong Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, Utusan Khasnya, serta rakan-rakan luar dalam memudahkan keamanan dan perdamaian di Myanmar, sambil menghormati prinsip tidak campur tangan.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita