Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Singapura mesti bersiap sedia hadapi gelombang jangkitan COVID-19 'lebih besar' daripada Omicron berbanding varian Delta: Ong Ye Kung

Singapura mesti bersiap sedia menghadapi gelombang jangkitan COVID-19 yang "lebih besar" daripada Omicron berbanding daripada varian Delta, kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada Rabu (5 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
Singapura mesti bersiap sedia hadapi gelombang jangkitan COVID-19 'lebih besar' daripada Omicron berbanding varian Delta: Ong Ye Kung

Orang ramai melintasi jalan raya di Raffles Place pada 6 Sep 2021. (Gambar: Gaya Chandramohan)

SINGAPURA: Singapura mesti bersiap sedia menghadapi gelombang jangkitan COVID-19 yang "lebih besar" daripada Omicron berbanding daripada varian Delta, kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada Rabu (5 Jan).

Pada kemuncaknya, jumlah kes Omicron mungkin "beberapa kali ganda" lebih banyak daripada sekitar 3,000 kes varian Delta yang catatkan pada Oktober dan November tahun lepas, kata Encik Ong dalam sidang media pasukan bertindak pelbagai kementerian COVID-19 .

Beliau menambah meskipun jangkitan Delta meningkat dua kali ganda dalam tempoh enam hingga lapan hari, jangkitan Omicron mungkin berganda dalam dua hingga tiga hari.

Bagaimanapun, ada berita baik di sebalik keadaan itu - kajian yang dijalankan di negara-negara seperti Afrika Selatan, Amerika Syarikat dan Kanada menunjukkan jangkitan Omicron adalah kurang teruk berbanding varian Delta, katanya.

Encik Ong juga menyaksikan keadaan yang sama di Singapura. Menurutnya daripada 2,252 kes Omicron di Singapura setakat ini, tiga memerlukan tambahan oksigen, tetapi telah dihentikan dalam tempoh tiga hari dan semakin pulih. Tidak satu pun kes tambah beliau yang memerlukan rawatan rapi.

KEADAAN TEMPATAN

Sepanjang minggu lalu, secara purata jumlah kes harian COVID-19 adalah sekitar 200, dengan 16 kes kini dalam unit rawatan rapi. Jumlah tersebut jauh lebih rendah daripada kemuncaknya beberapa bulan lalu, "menunjukkan bahawa gelombang jangkitan Delta baru-baru ini telah reda", kata Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan berasingan.

Bagaimanapun, Singapura telah menyaksikan peningkatan jumlah kes Omicron yang disahkan sepanjang minggu lalu, meskipun gelombang Delta semakin reda, kata MOH.

Sepanjang minggu lalu, Singapura mengesan 1,281 kes disahkan Omicron, terdiri daripada 1,048 kes import dan 233 kes tempatan. Ini membentuk kira-kira 18 peratus daripada kes tempatan pada minggu lalu, kata MOH.

"Dengan varian Omicron lebih mudah berjangkit, kita mungkin akan mengalami satu lagi gelombang jangkitan masyarakat tidak lama lagi," kata MOH.

Tambahnya, meskipun kes penyakit teruk atau kematian akibat Omicron adalah lebih rendah kerana perlindungan berterusan daripada program vaksinasi dan dos penggalak, ia tetap boleh memberi kesan kepada sistem penjagaan kesihatan Singapura.

"Apabila diambil kira bilangan kes yang lebih besar, ia masih boleh mengakibatkan sejumlah besar individu yang memerlukan penjagaan di unit rawatan rapi (ICU), dan memberi tekanan yang ketara kepada sistem penjagaan kesihatan kita," kata MOH.

"Oleh itu adalah penting kita melaksanakan langkah tindak balas yang sesuai untuk bersiap sedia bagi gelombang yang akan datang ini."

MOH menambah ia akan bekerjasama dengan doktor penjagaan utama untuk membolehkan mereka mencetuskan Protokol 2, untuk menyokong individu berisiko rendah dengan simptom COVID-19 ringan dalam menjalani pulihan dengan selamat dalam masyarakat.

MOH kini mempunyai pendekatan Protokol 1-2-3 sedia ada dalam menangani COVID-19, di mana Protokol 2 merujuk kepada langkah-langkah yang harus dilakukan oleh seseorang yang sihat tetapi diuji positif virus itu.

“Untuk memaksimumkan tahap perlindungan penduduk kita terhadap varian Omicron, kita juga perlukan setiap individu supaya mendapatkan suntikan dos penggalak mereka bagi mengekalkan status lengkap sivaksin, kata MOH.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan