Skip to main content

Singapura

Singapura LIVE! 4.0 bawa artis lebih dekat kepada para peminat

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 21 Dec 2025 05:43PM Dikemas Kini : 01 Jan 2026 03:38PM
SINGAPURA: Seramai 14 artis berkongsi pentas dalam persembahan Singapura LIVE! 4.0 Singa Maksima x Locals Only! yang telah diadakan di Teater Terbuka DBS Foundation, Esplanade.

Antara mereka yang membuat penampilan ialah Jatt Ali yang berjaya mengubat rindu para peminatnya.

"Ini adalah satu inisiatif yang paling baik kerana kita dapat bersama-sama dengan masyarakat untuk menghiburkan mereka dan mereka dapat melihat penyanyi kegemaran mereka," kata Jatt Ali.

"Selalu kita berada di studio dan kita tidak dapat bergerak dengan bebas. Jadi jika kita buat macam seperti ini, secara langsung seperti ini, saya rasa artis pun dapat dapat bergerak dengan bebas, dapat bertemu dengan peminat mereka dan dapat bergambar dengan mereka," tambahnya lagi.
Related article image
Jatt Ali membuat penampilan bagi mengubat rindu para peminatnya.
Kali terakhir Jatt Ali membuat persembahan di luar studio adalah pada Konsert Hitster Volume 1: Otai Sangat Menyengat pada 1 Februari 2025.

Selain para artis, para pengacara termasuk DJ Mediacorp RIA 897, Ezam Ernady turut ghairah berinteraksi dengan para penonton secara langsung.
Related article image
DJ Mediacorp RIA 897, Ezam Ernady (paling kanan), merupakan antara pengacara yang terlibat dalam acara tersebut.
"Kelainannya sudah tentu adalah jumlah para penonton yang hadir untuk saksikan secara langsung. Memang lebih ramai, lebih meriah, lebih kecoh dan sangat sangat 'happening'. Saya rasa sangat seronok pada malam ini," kongsi Ezam Ernady.

Ini merupakan antara usaha Mediacorp untuk mendekatkan para peminat dengan artis-artis kegemaran mereka.

Selain itu, ia juga merupakan sebagai satu platform bagi menyokong bakat tempatan.

"Mediacorp sentiasa menghasilkan inisiatif untuk mendekati penonton melalui rancangan-rancangan merentas platform, menampilkan artis-artis kegemaran penonton dan memupuk bakat-bakat tempatan," kata jurucakap Mediacorp dalam satu jawapan bertulis.

"Usaha seperti ini menjalinkan hubungan erat sesama penonton dan artis di mana penonton bukan sahaja dapat menyaksikan dan berinteraksi bersama artis-artis kegemaran mereka malah dapat bersama-sama raikan muzik Melayu tempatan," tambahnya lagi

Acara ini turut memberikan peluang kepada artis-artis mapan dan pendatang baharu untuk berkolaborasi di atas satu pentas.

Ia menggabungkan artis-artis tempatan seperti Jatt Ali, Sezairi, Shazza, Heema Izzati dan Rahila Rashun.

Selain itu, pelbagai kandungan sampingan turut dihasilkan secara eksklusif di platform digital bagi mendekatkan lagi hubungan dengan penonton di media sosial.

Persembahan istimewa itu dirakam dan akan diterbitkan untuk siaran di Suria pada Mac 2026 sebagai sebahagian daripada Singapura LIVE! 4.0.
Sumber : BERITA Mediacorp/hd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita