Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Singapura kesan 3 kes COVID-19 dijangkiti subvarian Omicron baru BA.4 and BA.5

Anggaran Waktu Membaca:
01:25 Min
Tiga kes subvarian Omicron baru dikesan di Singapura, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Ahad (15 Mei). Dua kes dijangkiti varian BA.4 dan satu kes tempatan disahkan varian BA.5.
Diterbitkan : 16 May 2022 12:02AM Dikemas Kini : 16 May 2022 11:25PM

SINGAPURA: Tiga kes subvarian Omicron baru dikesan di Singapura, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Ahad (15 Mei).

Dua kes dijangkiti varian BA.4 dan satu kes tempatan disahkan varian BA.5.

"Ini adalah kes masyarakat pertama yang disahkan dijangkiti dengan  varian BA.4 dan BA.5," kata kementerian itu, yang mengesan kes tersebut melalui pemantauan aktif keadaan COVID-19.

Pusat Eropah bagi Pencegahan dan Kawalan Penyakit (ECDC) baru-baru ini menyenaraikan virus Omicron sebagai varian yang membimbangkan. 

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula menambah varian BA.4 dan BA.5 ke dalam senarai varian dalam pemantauan pada awal April.

Kedua-dua varian keturunan versi BA.2 Omicron itu pertama kali dilaporkan oleh Afrika Selatan pada awal 2022 dan sejak itu telah menjadi varian dominan di sana.

Kes di Singapura dikesan melalui ujian lanjut terhadap sampel positif tindak balas rantai polimerase (PCR) dan disahkan melalui penjujukan genom keseluruhan (WGS), kata MOH.

Semua kes yang dikesan itu sama ada tidak mengalami gejala atau mempunyai simptom ringan seperti demam, batuk, hidung berair dan sakit tekak, dan tidak perlu dimasukkan ke hospital. Mereka juga sudah lengkap divaksin dan menerima dos penggalak.

Ketiga-tiga individu itu telah mengasingkan diri selepas disahkan positif COVID-19 dan tidak melaporkan terdedah kepada sebarang keadaan yang berisiko, tambah kementerian itu.

"Kami akan meningkatkan usaha pengawasan tempatan dan terus memantau penularan BA.4 dan BA.5 di Singapura. Meskipun masyarakat kita kini lebih berdaya tahan terhadap virus itu, semua orang harus terus memainkan peranan mereka dan kekal berwaspada untuk mengurangkan penyebaran COVID-19," kata MOH.

"Khususnya, orang yang mudah terdedah kepada komplikasi COVID-19, seperti mereka yang tidak divaksin, individu berumur 60 tahun ke atas serta orang yang mempunyai penyakit kronik, harus memastikan mereka mendapat maklumat terkini tentang dos penggalak yang disyorkan dan berhati-hati apabila berada dalam situasi yang mungkin ada banyak kontak dengan orang lain."

Kedua-dua versi BA.4 dan BA.5 mengandungi mutasi dalam protein spike yang lebih mudah berjangkit berbanding BA.1 dan BA.2 yang menyebabkan gelombang Omicron awal tahun ini.

Bagaimanapun, bukti dari negara lain menyokong dapatan bahawa jangkitan BA.4 dan BA.5 berkemungkinan tidak menyebabkan penyakit yang lebih teruk, berbanding dengan varian Omicron sebelumnya.

Menurut WHO, setakat 11 Mei, sekurang-kurangnya 1,000 kes BA.4 dan BA.5 dilaporkan di sekurang-kurangnya 16 negara. 

Sumber : CNA/su

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan