Singapura kekalkan 'pendekatan berhati-hati' untuk buka semula sempadan, kata PM Lee
Singapura akan melonggarkan dengan ketara kawalan perjalanan rentas sempadan, namun akan terus mengambil "pendekatan berhati-hati", kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Khamis (24 Mac).
SINGAPURA: Singapura akan melonggarkan dengan ketara kawalan perjalanan rentas sempadan, namun akan terus mengambil "pendekatan berhati-hati", kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Khamis (24 Mac).
Pendekatan itu telah membantu Singapura menangani dengan baik pandemik COVID-19 sejak dua tahun lalu, kata Encik Lee dalam perutusannya ke seluruh negara.
"Selepas langkah utama ini, kami akan memberikan sedikit masa untuk membolehkan keadaan stabil. Jika semuanya berjalan lancar, kami akan melonggarkan lagi kawalan."
Awal dari itu, Encik Lee berkata Singapura akan membenarkan perhimpunan dalam kumpulan sehingga 10 orang dan memakai pelitip semasa berada di luar tidak lagi diwajibkan mulai 29 Mac.
Singapura juga menaikkan had pekerja yang boleh bekerja dari rumah untuk kembali ke tempat kerja dan kapasiti bagi acara lebih besar kepada 75 peratus.
Namun PM Lee berkata Singapura juga harus "bersiap sedia dari segi psikologi bahawa
keadaan boleh menjadi lebih rumit pada masa hadapan".
"Dengan lebih banyak interaksi, kita juga mungkin akan menyaksikan gelombang baru kes jangkitan.
Dan Omicron bukanlah varian terakhir yang kita perlu tangani. Virus ini akan terus berkembang," kata Encik Lee.
"Kami harap jangkitan varian-varian baru akan menjadi lebih ringan secara progresif dan lebih menyerupai demam selesema. Tetapi mungkin juga, mutan-mutan yang lebih agresif dan berbahaya akan muncul, sama seperti Delta."
Jika itu berlaku, Singapura kata PM Lee mungkin perlu mundur dan mengetatkan semula langkah-langkah kawalan sekali lagi.
"Kita tidak boleh menolak kemungkinan ini akan berlaku, meskipun kita berharap langkah-langkah tersebut tidak perlu diambil. Walau apapun yang berlaku, kini kami mempunyai pengetahuan dan keupayaan untuk memastikan semua orang selamat."
Ini mungkin bermakna memberikan setiap orang satu lagi dos penggalak atau vaksin yang baru, tambah Encik Lee lagi.
LANGKAH SEMPADAN DILONGGARKAN
Perdana Menteri juga mengumumkan Singapura akan melonggarkan dengan ketara
kawalan perjalanan rentas sempadan menerusi satu rangka kerja perjalanan penumpang sudah divaksin yang baru.
Encik Lee berkata Singapura sebelum itu bersikap berhati-hati kerana kurang pasti akan kesan varian Omicron. Namun ketibaan pelawat dari luar negara membentuk hanya sebahagian kecil daripada jumlah kes.
"Oleh itu, kita boleh membuka sempadan kita dengan selamat," kata PM Lee.
Beliau menambah, Singapura akan "memperkemaskan dengan ketara keperluan ujian dan kuarantin bagi pelawat dan pasukan bertugas berbilang kementerian COVID-19 Kan membrikan butirannya.
Rangka Kerja Perjalanan bagi Penumpang Sudah Divaksinasi yang dipermudahkan itu akan
membolehkan rakyat Singapura ke luar negara dengan lebih mudah – "hampir seperti keadaan sebelum COVID-19", kata Encik Lee.
Ia juga akan melonggarkan kebanyakan sekatan bagi pelawat yang sudah lengkap divaksin
untuk memasuki Singapura.
"Ini akan menghubungkan semula Singapura dengan dunia luar. Pembukaan ini akan memberi rangsangan yang amat diperlukan oleh perniagaan-perniagaan, terutama sekali sektor pelancongan,
dan membantu Singapura merebut kembali kedudukan kita sebagai sebuah hab perniagaan dan penerbangan," kata Encik Lee.
"TETAP BERWASPADA, JANGAN BERSIKAP SAMBIL LEWA"
Encik Lee berkata perubahan-perubahan di dalam negeri mahupun rentas sempadan itu melambangkan "satu langkah penting menuju kehidupan bersama COVID-19" namun Singapura masih belum boleh meniadakan langsung sebarang langkah kawalan, tambahnya.
"Kita tetap berwaspada kerana COVID-19 masih boleh membawa kejutan baru," tegas Encik Lee.
"Beberapa negara mengambil pendekatan ‘Hari Kebebasan’ atau ‘Freedom Day’. Mereka telah mengisytiharkan pandemik sudah berakhir dan melonggarkan kesemua sekatan secara serta merta.
"Sekarang mereka sedang memantau situasi dengan cemas kerana bilangan jangkitan dan kematian mereka mula meningkat dengan pantas sekali lagi."
Encik Lee menggesa penduduk supaya memahami tujuan di sebalik pengumuman pada Khamis.
"Anda boleh menyambung semula kehidupan seperti biasa, menikmati masa bersama keluarga dan rakan-rakan dalam kumpulan yang lebih besar, keluar rumah tanpa memakai pelitup, atau bertemu semula dengan orang-orang yang tersayang di luar negara. Tetapi jangan bersikap sambil lewa tanpa menghiraukan risikonya,"kata Encik Lee.
Beliau menggesa setiap orang supaya terus mematuhi langkah pengurusan jarak selamat yang telah disemak dan lakukan ujian kendiri jika mereka berasa kurang sihat. Jika diuji positif, mereka harus asingkan diri di rumah.
"Jika anda diuji negatif, dan anda membuat keputusan untuk keluar rumah, harap pakai pelitup untuk melindungi orang lain, walaupun anda berada di luar rumah, sebagai langkah berjaga-jaga," kata PM Lee.
"Marilah kita terus mengamalkan tanggungjawab peribadi dan sosial kita. Untuk terus menjaga kesihatan kita, untuk terus menjaga keselamatan orang lain, untuk mengelakkan daripada membebankan pekerja penjagaan kesihatan kita."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.