Singapura kekal destinasi pelancongan paling mesra Muslim bukan OIC
SINGAPURA: Singapura kekal sebagai destinasi pelancongan 'mesra Muslim' nombor satu dalam kalangan destinasi-destinasi bukan anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Ia bahkan menyaksikan peningkatan dalam markah individu yang mencerminkan dedikasinya untuk memenuhi keperluan pelancong Muslim dengan lebih banyak kemudahan solat, makanan Halal dan tempat penginapan mesra Muslim.
Dapatan itu dikongsikan dalam laporan Indeks Pelancongan Muslim Global (GMTI) 2024 Mastercard-CrescentRating yang dilancarkan pada Khamis (30 Mac).
Trend serupa turut disaksikan dalam kalangan destinasi-destinasi bukan OIC lain di rantau Asia seperti Filipina, Hong Kong dan Taiwan.
Destinasi-destinasi itu juga meraih markah yang lebih tinggi tahun ini.
Secara keseluruhan pula, Indonesia dan Malaysia mendahului dalam indeks GMTI 2024 sebagai destinasi terbaik untuk pelancong Muslim.
"Kita mengklasifikasikan 145 destinasi tahun ini, dan daripada jumlah itu, sekurang-kurangnya 50 teratas sudah memperbaiki markah mereka, bermakna lebih banyak destinasi sedang menyasarkan pasaran Muslim sebagai pasaran strategik. Jadi saya rasa ada peningkatan dalam kebanyakan destinasi ini yang sedang meneroka pasaran ini," kongsi Ketua Pegawai Eksekutif CrescentRating dan HalalTrip, Fazal Bahardeen kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
"Untuk pasaran bukan OIC, kita tahu Singapura telah berusaha baik tetapi jika anda lihat pasaran dan destinasi-destinasi seperti Sepanyol, Afrika Selatan, Filipina dan Hong Kong, semua pasaran ini sedang lakukan lebih banyak dari segi pembangunan kapasiti dan penghasilan program-program pemasaran," menurutnya lagi.
KRITERIA BAHARU DIPERKENAL BAGI PELANCONG KURANG UPAYA & BERUSIA
Dalam pada itu, GMTI juga memperkenalkan kriteria baharu iaitu kemudahan dan khidmat bagi pelancong yang kurang upaya dan warga emas.
"Kami juga memperkenalkan elemen akses kerana keluarga Muslim selalunya melancong sebagai satu keluarga berbilang generasi. Jadi ada anak-anak, ibu bapa dan datuk nenek melancong bersama dan ini bermakna akses kepada pelancongan menjadi penting," jelas Encik Fazal
"Secara keseluruhan, kita mendapati 20 peratus golongan berusia lebih 60 tahun menjelang 2050. Jadi seperti contoh yang saya berikan, yang saya tidak pernah lihat dalam kehidupan saya, 25 kerusi roda berada dalam barisan kapal terbang. Jadi ini realiti hari ini. Orang hidup lebih lama dan ini bermakna mereka tidak sekuat seperti dalam usia muda mereka. Jadi mereka perlukan penjagaan dan masih ingin menikmati pelancongan. Jadi saya rasa destinasi-destinasi perlu mendakap idea menjadikan destinasi-destinasi lebih mudah diakses kumpulan-kumpulan usia yang berbeza," tambahnya.
Berkongsi tentang profil pelancong Muslim pula, yang antaranya ditumpukan kepada demografik lebih muda kali ini, Encik Fazal berkongsi bahawa adalah penting untuk memahami tingkah laku dan trend golongan tersebut berhubung pelancongan.
Mereka yang di bawah usia 40 tahun membentuk sekitar 70 peratus pelancong Muslim pada 2024.
"Golongan ini lebih arif dari segi mencari dan merancang lawatan-lawatan mereka dan mereka juga lebih sedar tentang (tempat) yang mesra Halal dan sudah membuat keputusan sebelum ke destinasi itu. Jadi adalah penting untuk memahami tingkah laku mereka dalam merancang pelancongan yang tidak sama seperti dahulu," ujar Encik Fazal.
"Anda hanya boleh mendekati mereka menerusi platform-platform online dan media sosial. Jadi mereka secara lazimnya akan mengubah naratif pelancongan," tambahnya.
KAUM MUSLIMAH BERPENGARUH DALAM PELANCONGAN
Kaum Muslimah juga menurut Encik Fazal memainkan pengaruh yang penting dan semakin berkembang dalam pelancongan.
Laporan itu antaranya menyediakan beberapa pandangan dan tinjauan tentang strategi untuk memahami dan memenuhi keperluan kumpulan itu.
"Dalam kalangan keluarga, terutama sekali wanita-wanita muda, mungkin mereka yang melakukan kajian seperti untuk ke mana dan aktiviti untuk dilakukan. Jadi mereka berpengaruh dalam merancang pelancongan. Anda perlu mendekati mereka untuk memahami sentimen mereka seperti contoh keselamatan, yang merupakan perkara penting yang mereka pertikaikan," jelas Encik Fazal.
Menurut laporan itu juga, pasaran pelancongan Muslim dijangka meningkat tahun ini dengan ketibaan pelancong dari luar negara berpotensi mencecah 168 juta.
Ini 5 peratus lebih tinggi daripada kadar sebelum pandemik.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.