Singapura, India bentang pelan tindakan untuk perkukuh Perkongsian Strategik Komprehensif
Singapura dan India menetapkan satu pelan tindakan untuk mengukuhkan lagi kerjasama antara kedua-dua negara.
Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong dan Perdana Menteri India Narendra Modi bertemu di Hyderabad House di New Delhi pada 4 September 2025. (Gambar: MDDI)
Ia merangkumi rancangan untuk mempererat kerjasama dalam bidang seperti semikonduktor dan pembangunan kemahiran kejururawatan.
Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, dan Perdana Menteri India, Narendra Modi, mengumumkan pelan tindakan tersebut pada Khamis (4 Sep), pada hari terakhir lawatan rasmi PM Wong ke New Delhi.
Pengumuman itu dibuat ketika India dan Singapura meraikan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik mereka.
Kedua-dua negara meningkatkan hubungan mereka ke tahap Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP), satu bentuk hubungan diplomatik bertaraf tinggi, semasa lawatan Encik Modi ke Singapura pada September lalu.
Pelan tindakan CSP itu disusun mengikut lapan bidang: kerjasama ekonomi, pembangunan kemahiran, pendigitalan, kemampanan, keterhubungan, jagaan kesihatan dan perubatan, pertukaran rakyat dan budaya, serta kerjasama pertahanan dan keselamatan.
Kedua-dua pemimpin bersetuju bahawa bidang-bidang tersebut adalah penting bagi menjamin daya tahan jangka panjang dalam persekitaran global yang semakin rumit, menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) Singapura dalam satu kenyataan.
Mereka juga bersetuju untuk menjadikan Perbincangan Meja Bulat Peringkat Menteri India-Singapura sebagai “mekanisme utama” untuk memantau kemajuan pelan tindakan tersebut.
Bercakap kepada media, Encik Modi berkata: “Hubungan kita melangkaui diplomasi. Ini adalah perkongsian yang bermatlamat, berteraskan nilai bersama, dipandu oleh kepentingan bersama dan digerakkan oleh visi yang sama demi keamanan, kemajuan dan kemakmuran.”
Beliau menyifatkan Singapura sebagai tonggak penting dalam dasar "Act East" India, dan menegaskan bahawa India akan terus bekerjasama dengan ASEAN untuk memajukan keamanan dan kestabilan di rantau ini.
PM Wong pula berkata pelan tindakan CSP yang “berani dan terperinci” itu merangka fasa seterusnya dalam hubungan antara India dan Singapura.
Terdahulu, PM Wong disambut mesra oleh Encik Modi di laman Hyderabad House, iaitu penginapan bagi tetamu negara di New Delhi.
Selain membincangkan hubungan dua hala, mereka turut bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan antarabangsa dalam pertemuan tersebut.
Ini termasuk peri perlunya menggalak integrasi ekonomi, memperkukuh hubungan pelbagai hala dan hubungan ASEAN-India, serta menegakkan tatanan antarabangsa berasaskan peraturan, menurut MFA.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.