Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Singapura, Filipina sepakat kukuhkan kerjasama digital, pembangunan bandar bijak

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 07 Sep 2022 05:26PM Dikemas Kini : 07 Sep 2022 08:43PM

SINGAPURA: Singapura dan Filipina bersepakat untuk menjalin kerjasama lebih erat dalam pelbagai bidang.

Kedua-dua pihak turut menegaskan lagi hubungan erat yang terjalin sejak lebih lima dekad lalu.

Beberapa perjanjian sudah dimeterai semasa kunjungan rasmi Presiden Filipina Ferdinand Marcos Junior selama dua hari ke Singapura.

Ia merupakan sebahagian lawatan pertama beliau ke luar negara sejak mengambil alih Jun lalu.

Sebelum ke Singapura, Presiden Marcos Junior ke Indonesia terlebih dahulu.

Presiden Marcos diberi sambutan penuh istiadat di Istana pada Rabu pagi (7 Sep).

Beliau bersama Perdana Menteri Lee Hsien Loong turut menyaksikan pemeteraian beberapa perjanjian dua hala.

Ia termasuk mengukuhkan kerjasama dalam bidang seperti perlindungan data, menentang pengganasan dan pembangunan bandar.

Presiden Marcos Junior turut bertemu dengan Presiden Halimah Yacob, di mana kedua-dua pemimpin berbincang tentang bidang kerjasama yang boleh dipertingkat, terutama sektor terbaru seperti kemampanan dan keselamatan makanan.

Menurut Presiden Halimah, kerjasama antara Singapura dengan Filipina semakin penting di tengah-tengah cabaran global hari ini.

"Singapura dan Filipina berkongsi komitmen terhadap ASEAN serta keamanan dan kemakmuran serantau. Masa depan rantau ini bergantung kepada bagaimana respon kita terhadap peluang dan cabaran secara bersama," kata Puan Halimah.

"Saya yakin di bawah kepimpinan Presiden Marcos Junior, kita akan terus bekerja rapat bagi meningkatkan hubungan kita ke tahap lebih tinggi," tambah beliau.

"Singapura merupakan sebahagian daripada usaha kami untuk mengekalkan kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi rantau ini. Kami bersama-sama anda, dalam membuktikan kepada dunia bahawa kekuatan sesuatu negara bukan pada saiznya," jelas Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Junior.

"Namun, tergantung kepada kualiti kehidupan serta hubungan yang ia jalinkan dengan negara-negara lain, dibimbing oleh prinsip-prinsip kedaulatan sama rata dan kemerdekaan," tambah Presiden Marcos.

Presiden Marcos turut optimistik hubungan dua hala serta antara negara-negara ASEAN, akan terus meningkat dan bertambah kukuh dalam tahun-tahun mendatang.
(Gambar: Facebook/Bongbong Marcos)
Sejenis bunga orkid hibrid turut diberikan nama khas sempena kunjungan Presiden Marcos Junior bersama isteri.

Bunga Dendrobium Ferdinand Louise Marcos mampu tumbuh setinggi 70 sentimeter.

Singapura sering menamakan bunga orkid hibrid sempena kunjungan orang-orang kenamaan sebagai simbol muhibah dan persahabatan.
Sumber : CNA/IQ/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan