Singapura dedah strategi banteras pembiayaan pengganasan

(Gambar: TODAY)
SINGAPURA: Pemerintah hari ini (7 Okt) melancarkan strategi membanteras pembiayaan pengganasan.
Dipanggil Strategi Nasional bagi Membanteras Pembiayaan Pengganasan (CFT), strategi tersebut merangkumi tindakan untuk mencegah, mengesan, menyiasat dan menguatkuasakan aspek-aspek pembiayaan pengganasan, menurut kenyataan bersama daripada
Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), Kementerian Kewangan (MOF) dan Penguasa Kewangan Singapura (MAS).
Pihak berkuasa menyatakan strategi tersebut dirumuskan berdasarkan dapatan-dapatan daripada penilaian risiko pembiayaan pengganasan yang dijalankan pada tahun 2020.
"Ancaman utama pembiayaan pengganasan Singapura adalah daripada kumpulan-kumpulan pengganas serantau dan antarabangsa serta individu yang menjadi radikal, sedang mereka mengumpul, menggerakkan dan menggunakan sumber kewangan bagi tujuan pengganasan," menurut kenyataan tersebut.
Singapura sudah menyaksikan beberapa kes pembiayaan pengganasan baru-baru ini, termasuk seorang rakyat Bangladesh yang bekerja sebagai pekerja binaan di Singapura dan menderma kepada kempen mengumpul dana untuk menyokong kumpulan pengganas.
Kes-kes lain termasuk seorang ahli perniagaan tempatan yang memberi wang kepada seorang lelaki lain untuk membiayai perjalanannya ke Syria untuk menyertai kumpulan pengganas.
Semasa pengumuman strategi baru itu, pihak berkuasa menekankan bahawa penyedia khidmat pembayaran dan bank yang mengendalikan pindahan wang rentas sempadan lebih terdedah kepada ancaman pembiayaan pengganasan, memandangkan "kemudahan dan kelajuan khidmat-khidmat tersebut".
Strategi CFT nasional itu terdiri daripada lima perkara utama: Mengenal pasti risiko secara teratur dan menyeluruh; rangka kerja kukuh undang-undang dan sekatan; rejim kawal selia yang teguh dan rangka kerja penyeliaan yang bersasar mengikut tahap risiko; tindakan penguatkuasaan undang-undang yang tegas; dan kerjasama antarabangsa.
Strategi itu juga memerlukan kerjasama dengan sektor swasta dalam mengesan dan mematahkan ancaman tersebut.
Sebagai sebahagian daripada strategi itu, rangka kerja kawal selia juga harus menyeluruh dan kukuh, bagi membolehkan pihak berkuasa undang-undang mengambil tindakan pantas terhadap pengganas dan entiti berkaitan.
"Singapura kekal komited untuk mengambil tindakan tegas terhadap TF (pembiayaan pengganasan) untuk memastikan negara, rantau dan dunia kita selamat daripada aktiviti-aktiviti pengganas," tambah kenyataan tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.