Singapura buka semula sempadan kepada pelawat lengkap divaksin mulai 1 Apr, tanpa perlu VTL
Singapura akan membuka semula sempadannya kepada semua pelawat yang sudah lengkap divaksin, tanpa perlu skim Laluan Perjalanan Penumpang Sudah Divaksin (VTL) dan aturan pembukaan sehala mulai 1 Apr, kata Penguasa Penerbangan Awam Singapura pada Khamis (24 Mac).
SINGAPURA: Singapura akan membuka semula sempadannya kepada semua pelawat yang sudah lengkap divaksin, tanpa perlu skim Laluan Perjalanan Penumpang Sudah Divaksin (VTL) dan aturan pembukaan sehala mulai 1 Apr, kata Penguasa Penerbangan Awam Singapura pada Khamis (24 Mac).
Sebaliknya, ia akan beralih kepada rangka kerja perjalanan vaksinasi dipermudahkan yang baru di mana negara dan wilayah disenaraikan kepada dua kategori - perjalanan am atau kategori terhad.
Di bawah rangka kerja itu, semua pelawat yang lengkap divaksin serta kanak-kanak berumur 12 tahun dan ke bawah, akan dapat memasuki Singapura dengan hanya mengambil ujian COVID-19 sebelum berangkat mulai 11.59 malam pada 31 Mac.
Mereka juga tidak perlu lagi memohon kelulusan kemasukan atau menaiki pengangkutan VTL yang ditetapkan untuk memasuki Singapura tanpa kuarantin. Di samping itu, tiada lagi kuota ditetapkan bagi bilangan ketibaan setiap hari.
Meskipun pelawat akan terus tertakluk kepada ujian dua hari sebelum berlepas ke Singapura, mereka tidak perlu menjalani notis jangan keluar rumah atau perlu mengambil ujian pantas antigen (ART) selepas tiba di Singapura.
Bagi pemegang pas jangka panjang dan pelawat jangka pendek berumur 13 tahun ke atas yang tidak lengkap divaksin, mereka secara amnya tidak dibenarkan memasuki Singapura. Bagaimanapun, beberapa pengecualian dibuat termasuk pemegang pas jangka panjang yang tidak layak divaksin atas sebab perubatan serta mereka yang dapat kelulusan kemasukan sah atas sebab belas ihsan.
Bagi kumpulan itu, mereka akan dikehendaki mengambil ujian dalam masa dua hari sebelum berlepas ke Singapura, menjalani notis jangan keluar rumah selama tujuh hari dan mengambil ujian tindak balas rantai polimerase (PCR) selepas tempoh pengasingan mereka.
Dalam kenyataan berasingan pada Khamis, MOH menyatakan pihaknya akan terus memantau keadaan COVID-19 tempatan dan global dan akan mempertimbangkan langkah meniadakan keperluan ujian sebelum berlepas "dalam beberapa minggu akan datang".
"Ini adalah langkah berjaga-jaga kerana kes COVID-19 semakin meningkat di beberapa bahagian dunia," kata Menteri Pengangkutan S Iswaran dalam sidang media pasukan bertindak berbilang kementerian mengenai COVID-19 pada Khamis.
"Kami akan menyemak semula keperluan ini dalam dua hingga empat minggu menjelang pertengahan April, dengan mengambil kira penilaian kesihatan awam semasa."
Proses memudahkan pelawat yang divaksin datang ke Singapura dilakukan sedang keadaan COVID-19 di negara ini semakin stabil dan banyak negara serta wilayah sudah melepasi puncak gelombang Omicron.
"Matlamat kami adalah untuk mengalu-alukan syarikat penerbangan kembali ke Singapura, sediakan perkhidmatan kepada Singapura dan rantau ini, meningkatkan jumlah penumpang kepada sekurang-kurangnya 50 peratus tahap sebelum COVID pada tahun ini dan menjadikan pengalaman peelancongan di Changi seperti yang dikenali sebelum ini," kata Encik Iswaran.
Sebagai permulaan, semua negara dan wilayah akan diletakkan di bawah kategori perjalanan umum, dengan tiada satu pun dalam kategori larangan buat masa ini.
Sekiranya terdapat varian baru dengan risiko kesihatan awam yang mungkin "ketara", MOH menyatakan ia mungkin menyenaraikan semula negara dan wilayah yang terjejas di bawah kategori larangan dengan langkah sempadan yang ketat. Ini termasuk perlu mendapatkan kelulusan kemasukan bagi pelawat jangka pendek.
"Ini bagi membolehkan kami menghadkan risiko mengimport varian baru dan berpotensi berbahaya jika ia timbul, serta untuk memberi masa kepada pakar untuk lebih memahami ciri-ciri varian ini dan untuk membangunkan cadangan kesihatan awam yang sesuai," kata MOH.
MOH menambah bahawa Singapura juga sedang berusaha ke arah menyambung semula sepenuhnya perjalanan darat dengan Malaysia untuk pelawat yang sudah lengkap divaksin.
"Perincian lanjut mengenai langkah-langkah sempadan bagi pelawat yang lengkap divaksin memasuki Singapura melalui sempadan darat akan diumumkan bersama Malaysia," kata MOH.
Dengan pengenalan rangka kerja perjalanan vaksinasi yang baru, penduduk Singapura yang sudah lengkap divaksin serta pemegang pas jangka panjang tidak lagi perlu membayar bil perubatan yang ditanggung untuk rawatan COVID-19 di hospital dan kemudahan rawatan COVID-19.
Sekarang ini, penduduk Singapura serta pemegang pas jangka panjang bertanggungjawab membayar bil perubatan di hospital dan kemudahan rawatan dan pemulihan COVID-19, jika mereka mengalami simptom atau didapati positif COVID-19 dalam tempoh 14 hari selepas mereka pulang ke Singapura.
Sementara itu, mereka yang melakukan perjalanan ke tempat di bawah kategori larangan, akan dikehendaki membayar bil perubatan di hospital dan kemudahan rawatan dan pemulihan COVID-19 khas, jika mereka mula mengalami simptom atau disahkan positif COVID-19 dalam tempoh tujuh hari selepas mereka kembali ke Singapura, tanpa mengira status vaksinasi mereka.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.