Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Singapura, Brunei meterai 4 MOU; sahkan hubungan yang lama terjalin

Anggaran Waktu Membaca:
Singapura, Brunei meterai 4 MOU; sahkan hubungan yang lama terjalin

Perdana Menteri Lee Hsien Loong bersama Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah (Gambar: MCI)

INGAPURA: Singapura dan Brunei memeterai empat Memorandum Persefahaman (MOU) dan mengesahkan "hubungan istimewa yang lama terjalin", menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada Khamis (25 Ogos). 

Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah menamatkan lawatan negara dua hari ke Singapura pada Khamis (25 Ogos). Semasa lawatannya itu, Perdana Menteri Lee Hsien Loong menemui Sultan Hassanal Bolkiah, yang membuat lawatan negara kelimanya ke Singapura.

Dalam satu catatan di Facebook, Encik Lee berkata: "Kali terakhir kami bertemu ialah beberapa minggu lalu apabila saya melawat Brunei sempena sambutan ulang tahun Sultan yang ke-76. Saya gembira dapat bertemu lagi dan mengesahkan hubungan dua hala yang sudah lama terjalin." 

Lawatan Sultan Hassanal Bolkiah merupakan "waktu yang terbaik bagi kedua-dua negara memperkukuh tunggak tradisional kerjasama kami, termasuk pertahanan dan kewangan," menurut MFA. 

"Sebagai rakan negara kecil, Singapura dan Brunei sedang bekerjasama untuk memperkukuh daya tahan kami dalam iklim yang tidak menentu," tambah MFA. 

Semasa lawatan Sultan Hassanal Bolkiah, kedua-dua negara membincangkan cara untuk meluaskan kerjasama dua hala. Agensi-agensi Singapura dan Brunei memeterai MOU dalam bidang tenaga, ekonomi mesra alam serta daya tahan bekalan makanan dan perubatan, menurut Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI).

"Pemeteraian dua MOU untuk memperkukuh kerjasama dua hala dalam bidang tenaga, ekonomi hijau, serta daya tahan bekalan makanan dan perubatan menandakan keinginan dua-dua pihak untuk menerajui negara kami ke arah masa depan yang lebih mampan dan berdaya tahan," kata Menteri Perdagangan dan Perusahaan Singapura Gan Kim Yong. 

"Singapura akan terus bekerjasama dengan Brunei, yang mengongsi hubungan istimewa dengan kami, untuk meneroka bidang-bidang kerjasama yang boleh menyiapkan kami bagi masa akan datang." 

Kedua-dua negara juga memeterai MOU bagi Biasiswa Pendidikan Belia Brunei-Singapura dan bekerjasama untuk membangunkan keupayaan perkhidmatan awam. 

Sultan Hassanal Bolkiah melawat Pangkalan Udara Sembawang, bersama Menteri Pertahanan Dr Ng Eng Hen. Turut hadir adalah Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Edwin Tong, Panglima Angkatan Pertahanan Leftenan Jeneral Melvyn Ong dan Panglima Pasukan Udara Jeneral Mejar Kelvin Khong. 

Sultan Hassanal Bolkiah diberi taklimat  mengenai Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) dan menaiki penerbangan dalam helikopter H225M RSAF. Beliau juga melihat pameran statik Sistem Peluru Berpandu Aster 30, menurut Kementerian Pertahanan (MINDEF). 

Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan isterinya melawat Brunei pada Julai sempena sambutan ulang tahun Sultan yang ke-76. Semasa lawatan mereka, Encik Lee dan isteri dikurniakan anugerah diraja dari Sultan Hassanal Bolkiah. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan