Singapura belum gunakan rizab bekalan tenaga, bersedia untuk pelbagai senario: Tan See Leng
Menteri bertanggungjawab bagi Tenaga, Sains dan Teknologi Dr Tan See Leng bercakap kepada media di terminal SLNG pada 20 Mac 2026 (Gambar: CNA/Abel Khoo)
Ketika bercakap kepada wartawan semasa lawatan ke Terminal LNG Singapura (SLNG), Dr Tan See Leng berkata konflik Timur Tengah kini kian meruncing dan nampaknya tiada tanda-tanda permusuhan itu akan berakhir.
Serangan baru-baru ini terhadap kemudahan minyak Iran di Pulau Kharg dan serangan balas terhadap kemudahan gas asli cecair Ras Laffan di Qatar memdatangkan kesan besar terhadap rantaian bekalan minyak dan gas global.
"Walaupun esok, peperangan berhenti, pembinaan semula kemudahan Ras Laffan ini akan mengambil masa antara tiga hingga lima tahun. Jadi, anda boleh jangkakan gangguan seperti itu," kata Dr Tan.
Beliau berkata Singapura bersedia untuk menghadapi pelbagai kecemasan dan senario, dan sudah mengukuhkan daya tahannya buat sekian lama, termasuk dengan memusatkan perolehan gas dan mewajibkan syarikat-syarikat menyimpan simpanan bekalan tenaga.
Dr Tan sebelum ini memberitahu Mediacorp bahawa Singapura mempunyai simpalan bekalan tenaga bagi beberapa bulan.
Pada masa ini, sekitar 95 peratus bekalan elektrik Singapura dijana menggunakan gas asli yang diimport.
Terminal SLNG membekalkan sekitar 50 peratus daripada permintaan gas asli Singapura untuk penjanaan kuasa, dan mempunyai kapasiti untuk menyokong semua keperluan semasa Singapura jika diperlukan.
Keadaan Singapura adalah stabil buat masa ini, tetapi apabila keadaan berkembang dan bekalan terganggu atau dikurangkan, harga elektrik akan meningkat.
Produk seperti baja dan juga helium, yang digunakan di SLNG, juga akan terjejas.
Beberapa langkah yang diumumkan semasa Belanjawan 2026 akan membantu, dan pemerintah bersedia untuk menyediakan lebih banyak langkah jika perlu, tambahnya.
"Kami sedang memantau keadaan dengan sangat rapi, kerana kami juga mahu memastikan bahawa kami mempunyai simpanan untuk kami gunakan apabila keadaan menjadi lebih teruk," kata Dr Tan.
Beliau menyarankan agar mereka beralih kepada kenderaan elektrik, menetapkan suhu alat hawa dingin pada paras lebih tinggi dan mematikan peralatan yang tidak digunakan, serta menggalakkan pemasangan panel suria.
"Kita boleh cuba mengurangkan bilangan perjalanan kereta peribadi, kita boleh berkongsi kenderaan, atau kita juga boleh cuba menggunakan pengangkutan awam," katanya. "Saya fikir langkah-langkah tersebut akan membantu."
Krisis pada masa ini adalah peringatan jelas bahawa tenaga sentiasa penting untuk kewujudan Singapura, kata Dr Tan, yang juga Menteri Tenaga Manusia.
Malah, loji penyahgaraman Singapura memerlukan tenaga untuk beroperasi. "Saya harus menekankannya sekali lagi. Ia penting untuk kewujudan kita," tambahnya.
Para pegawai pemerintah sedang bekerja sepanjang masa untuk memastikan rantaian bekalan kekal utuh, katanya.
"Jadi, yakinlah. Kita akan melalui tempoh sukar ini bersama-sama. Kita akan mengekalkan reputasi kita, kewibawaan kita serta daya tahan kita," tambah Dr Tan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.