Singapura bangunkan pusat global baru pacu huraian kurangkan pengeluaran karbon
Penguasa Pelabuhan Maritim (MPA) akan menubuhkan sebuah pusat global untuk memacu huraian mengurangkan pengeluaran karbon.
SINGAPURA: Penguasa Pelabuhan Maritim (MPA) akan menubuhkan sebuah pusat global untuk memacu huraian mengurangkan pengeluaran karbon.
Ini adalah sebahagian daripada strategi mampan Singapura untuk industri tersebut.
Menteri Pengangkutan Ong Ye Kung mengumumkan demikian hari ini (19 Apr) di pembukaan Minggu Maritim Singapura, sebuah acara tahunan yang masuk kali ke-15.
Para pemain maritim antarabangsa dapat bekerjasama di pusat baru itu bagi memacu penggunaan sumber tenaga rendah karbon dalam usaha untuk mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau.
MPA juga sedang memulakan sesi konsultasi dengan orang ramai selama dua bulan untuk mengumpul maklum balas bagi menyiapkan rangka tindakan mengurangkan karbon menjelang akhir tahun ini.
Oleh kerana matlamat mencapai tenaga bebas karbon masih lebih lama lagi, Encik Ong berkata pelabuhan-pelabuhan seperti Singapura boleh menjadikan operasinya lebih cekap.
PENDIGITALAN URUS NIAGA MARITIM
Singapura juga sedang memulakan ujian fasa kedua platform digital bagi urus niaga berkaitan kapal.
Fasa pertama digitalPORT@SG dilancarkan pada 2019.
Encik Ong menambah Singapura akan terus meningkatkan Sistem Maklumat Trafik Kapal yang boleh mengesan antaranya risiko pelanggaran sebelum ia berlaku.
Ini selepas satu insiden kapal tersangkut yang berlaku di Terusan Suez bulan lalu menunjukkan pentingnya memastikan laluan perkapalan kekal terbuka dan selamat.
Selat Singapura dan Melaka membawa hampir tiga kali ganda jumlah muatan berbanding Terusan Suez.
2 SYARIKAT DIIKTIRAF ATAS USAHA KEMAMPANAN
Sementara itu, dua anugerah baru diberikan kepada syarikat perkapalan yang berusaha untuk bebas karbon dan menjadikan sektor tersebut lebih mampan.
Lebih 200 pencalonan diterima untuk sembilan kategori anugerah dalam edisi ke-11 Anugerah Maritim Antarabangsa Singapura, kali ini.
Sembcorp Marine menerima Anugerah Kemampanan yang baru kerana usahanya dalam menyokong penggunaan bahan bakar yang lebih mesra alam di pelabuhan-pelabuhan negara ini.
Ini termasuk mereka dan membina kapal tunda yang menggunakan gas cecair asli dan elektrik, bukannya bahan bakar konvensional.
BW Group menang Anugerah Pemilik Kapal Hijau kerana menggunakan reka bentuk kapal yang cekap tenaga.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.