Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Singapura bakal semak dasar perumahan, cuti ibu bapa untuk galak lebih ramai orang timang anak

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 10 Oct 2022 06:37PM Dikemas Kini : 10 Oct 2022 09:36PM
SINGAPURA: Singapura sedang berusaha untuk memperbaiki keadaan bagi membolehkan keluarga-keluarga berkembang.

Contohnya, cuti bagi ibu bapa yang bekerja akan disemak.

Had yuran yang ditetapkan bagi pusat-pusat prasekolah yang dikendalikan Pemerintah juga akan dikurangkan agar khidmat jagaan kanak-kanak sepanjang hari lebih dalam kemampuan ramai.

Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong berkata ia antara beberapa cara bagi membolehkan ibu bapa menguruskan komitmen pekerjaan dan keluarga dengan lebih baik.

"Saya juga ingin menambah bahawa ia bukan sahaja tentang mempunyai lebih banyak cuti tetapi tentang peri pentingnya golongan bapa dilibatkan dalam hal keibubapaan dan penjagaan anak.

"Dalam kebanyakan keluarga pada masa sekarang, golongan ibu masih memikul sebahagian besar beban menjaga anak," kata DPM Wong.

"Kita seharusnya menyasarkan perkongsian tanggungjawab ibu bapa dengan lebih adil. Ini bukan sesuatu yang boleh diubah menerusi dasar-dasar sahaja. Akhirnya, kita perlu mengalihkan pemikiran dengan lebih luas dari segi tingkah laku individu dan norma-norma masyarakat," tambah beliau.

Encik Wong berkata demikian sedang Singapura berusaha untuk memperbaharui keseluruhan pendekatannya dalam menangani cabaran-cabaran yang boleh menjejas jalinan sosial negara ini.

Antara isu-isu lain termasuk menyokong warga emas dan membantu golongan berpendapatan rendah.

DPM Wong mengenal pasti perkara-perkara tersebut sedang perbincangan awam bagi membina sebuah masyarakat yang lebih adil dan inklusif kini memasuki bulan ketiga.

"Namun jika kita mengambil langkah ke belakang,
patut diingatkan perpaduan sosial kita sekarang adalah berdasarkan beberapa nilai teras yang sudah wujud sejak kemerdekaan Singapura iaitu:tanggungjawab peribadi dan kolektif yang saling memperkukuhkan antara satu sama lain, supaya setiap orang menyumbang untuk menjaga diri sendiri dan satu sama lain; kesaksamaan dan sikap inklusif, di mana semua rakyat Singapura boleh membuat sumbangan dan mempunyai kepentingan dalam kemajuan negara kita; kemampanan fiskal, di mana kita berbelanja mengikut kemampuan kita dan tidak membebani anak-anak kita," ujar DPM Wong lagi.

"Tanggungjawab peribadi dan kolektif, kesaksamaan dan sikap inklusif serta kemampanan fiskal - nilai-nilai ini akan terus membimbing kita pada masa hadapan," tambah beliau.
Sumber : CNA/AI/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan