Skip to main content

Singapura

Singapura bakal peroleh 4 pesawat rondaan maritim Boeing P-8A

Singapura memutuskan untuk memperoleh empat pesawat rondaan maritim Boeing P-8A bagi menggantikan pesawat Fokker-50 yang sudah digunakan selama lebih tiga dekad.

Anggaran Waktu Membaca:
Singapura bakal peroleh 4 pesawat rondaan maritim Boeing P-8A

Pesawat rondaan maritim Boeing P-8A. (Gambar: Boeing)

Diterbitkan : 10 Sep 2025 12:50PM
SINGAPURA: Singapura memutuskan untuk memperoleh empat pesawat rondaan maritim Boeing P-8A bagi menggantikan pesawat Fokker-50 yang sudah digunakan selama lebih tiga dekad.

Langkah tersebut merupakan sebahagian daripada fasa pertama usaha Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) memperkukuh keupayaan keselamatan maritimnya “bagi meningkatkan keupayaan SAF memantau situasi maritim dan menangkis ancaman bawah permukaan”, menurut Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam satu kenyataan media pada Rabu (10 Sep).

Pesawat Boeing P-8A yang direka khusus untuk rondaan maritim dilengkapi keupayaan peperangan antikapal selam. Sistem sensor dan radar yang canggih membolehkannya dikerahkan untuk pelbagai misi maritim.

Ia juga boleh digunakan bagi operasi mencari dan mengesan serta dilengkapi avionik moden, selain sistem kawalan "fly-by-wire" yang turut digunakan pesawat komersial Boeing 737.

Ketika ini, pesawat Boeing P-8A digunakan oleh sembilan negara, termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia.
Related article image
Menteri Pertahanan, Chan Chun Sing, disambut oleh Setiausaha Perang Amerika Syarikat Pete Hegseth sebelum menerima tabik hormat daripada Kawalan Kehormatan di Pentagon. (Gambar: MINDEF)
Menteri Pertahanan Chan Chun Sing bertemu Setiausaha Perang Amerika Syarikat Pete Hegseth di Pentagon pada Rabu dan memaklumkannya mengenai keputusan Singapura itu, menurut MINDEF.

Encik Chan turut menyatakan bahawa pengeluaran 20 jet pejuang F-35 yang diperoleh Singapura sudah dimulakan dan penghantaran dijangka mengikut jadual mulai hujung 2026.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Encik Hegseth atas “sokongan berterusan Amerika Syarikat terhadap latihan SAF di Amerika Syarikat”, termasuk bagi Latihan Forging Sabre di Idaho serta detasmen latihan RSAF yang akan datang di Pangkalan Pengawal Udara Kebangsaan Ebbing di Arkansas, menurut MINDEF.

Dalam pertemuan itu, Encik Chan dan Encik Hegseth turut “menegaskan semula hubungan pertahanan dua hala yang cemerlang dan sekian lama terjalin, serta kerjasama saling menguntungkan” antara Singapura dan Amerika Syarikat.

“Encik Chan mengulangi sokongan Singapura terhadap pelibatan berterusan Amerika Syarikat di Asia-Pasifik, selaras dengan Memorandum Persefahaman 1990 yang diperbaharui pada 2019 oleh Presiden Trump dan Perdana Menteri ketika itu, Encik Lee Hsien Loong,” menurut MINDEF.

Kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai perkembangan keselamatan serantau.

Mereka menyambut baik kerjasama lebih erat bagi menangani ancaman baharu, termasuk melalui kaedah seperti penyelidikan dan pembangunan bersama.

“Penyegaran Memorandum Perjanjian Penyelidikan dan Pembangunan Memerangi Keganasan baru-baru ini akan membolehkan kedua-dua pihak membangunkan teknologi baharu untuk menentang pengganasan.”

Semasa di Washington DC, Encik Chan juga akan bertemu dengan Timbalan Penasihat Keselamatan Negara Andy Baker, Setiausaha Tentera Udara Amerika Syarikat Dr Troy E Meink, Setiausaha Tentera Laut Amerika Syarikat John Phelan, serta beberapa anggota Kongres Amerika Syarikat.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita