Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Singapura ambil pendirian konsisten dan berprinsip dalam konflik Israel-Palestin

Kementerian Ehwal Luar (MHA) akan terus bekerjasama dengan Konsulat Jeneral Kehormat Singapura di Tel Aviv bagi menyediakan bantuan konsular kepada rakyat Singapura di Israel bila perlu.

Anggaran Waktu Membaca:
Singapura ambil pendirian konsisten dan berprinsip dalam konflik Israel-Palestin

Seorang penduduk Palestin berjalan di depan runtuhan bangunan Al-Shuruq di Gaza pada 20 Mei 2021 menyusuli serangan udara Israel. (Gambar: Mahmud Hams / AFP)

SINGAPURA: Kementerian Ehwal Luar (MHA) akan terus bekerjasama dengan Konsulat Jeneral Kehormat Singapura di Tel Aviv bagi menyediakan bantuan konsular kepada rakyat Singapura di Israel bila perlu.

Bagi mereka yang belum mendaftar secara online dengan MFA, mereka digesa supaya melakukannya dengan segera agar dapat dihubungi jika ada kecemasan.

Gesaan itu dibuat Menteri Ehwal Luar Dr Vivian Balakrishnan dalam jawapan bertulisnya kepada pertanyaan Anggota Parlimen GRC Chua Chu Kang Zhulkarnain Abdul Rahim, tentang apa yang Pemerintah boleh lakukan untuk memantau dan memastikan keselamatan semua warga Singapura yang kini menetap di Israel.

Dr Balakrishnan juga berkata bahawa MFA akan terus memberikan bantuan konsular kepada rakyat Singapura yang berada di rantau tersebut.

MFA sebelum ini telah menghubungi rakyat-rakyat Singapura berkenaan untuk bertanyakan keadaan mereka.

MFA mengingatkan mereka supaya kekal berwaspada dan mengambil langkah-langkah berjaga-jaga yang perlu bagi keselamatan diri.

Selain itu, Encik Zhulkarnain juga memohon pencerahan mengenai apa yang boleh dilakukan Pemerintah untuk meredakan ketegangan di Israel dan Palestin bagi menghindari daripada terjadinya lebih banyak korban jiwa yang tidak bersalah serta melindungi tapak-tapak keagamaan Warisan Dunia UNESCO termasuk Masjid Al-Aqsa, Gereja Makam Kudus dan Tembok Ratapan daripada ditimpa kerosakan.

Dr Balakrishnan menjelaskan bahawa Singapura kekal dengan pendirian yang konsisten dan berprinsip mengenai konflik Israel-Palestin.

Ia menyokong huraian dua negara yang membolehkan kedua-dua penduduk Israel dan Palestin hidup dengan aman dan selamat sejajar dengan ketetapan huraian Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang relevan.

Ini satu-satunya cara untuk mencapai huraian yang bertahan lama, adil dan menyeluruh.

Dr Balakrishnan juga menggariskan beberapa faktor yang menyokong pendirian Singapura terhadap konflik Israel-Palestin.

KEPRIHATINAN UTAMA SINGAPURA ADALAH KESELAMATAN PENDUDUK AWAM

Pertama, keprihatinan utama Singapura kata Dr Balakrishnan senantiasa mengenai keselamatan penduduk awam dari kesemua pihak.

Beliau menegaskan bahawa undang-undang dan perjanjian antarabangsa perlu dipatuhi.

Pada 9 Mei lalu, Kementerian Ehwal Luar (MFA) melahirkan kebimbangan mendalam dan menggesa semua pihak agar menghentikan keganasan menyusuli pertempuran di kawasan Haram al-Sharif.

Pada 12 Mei lalu pula, MFA meminta semua pihak agar menghentikan serangan ke atas orang awam dan berusaha ke arah satu gencatan senjata.

Seterusnya pada 21 Mei lalu, Singapura mengalu-alukan gencatan senjata yang dicapai dan menggesa kedua-dua pihak agar menghindari lebih banyak korban jiwa.

Seperti konflik-konflik sebelum ini pada 2009 dan 2014, Singapura tambah Dr Balakrishan akan terus menyokong usaha bantuan kemanusiaan buat rakyat Palestin.

Misalnya, pemerintah Singapura mendermakan AS$100,000 sebagai dana permulaan kepada Palang Merah Singapura.

Dr Balakrishnan berkata beliau tersentuh dengan kemurahan hati rakyat Singapura yang mendermakan hampir $4.5 juta dalam usaha pengumpulan dana yang dijalankan oleh Palang Merah Singapura dan Dana Rahmatan Lil Alamin (RLAF).

Sumbangan tersebut akan disalurkan menerusi Agensi Pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) dan Bulan Sabit Merah Palestin sebagai menyokong usaha bantuan dan kemanusiaannya.

Ini kata Dr Balakrishan adalah bukti semangat belas ihsan yang ditunjukkan rakyat Singapura kepada mereka yang memerlukan.

LINGKARAN KEGANASAN DI GAZA HARUS DIHENTIKAN

Meskipun kerosakan kepada infrastruktur di Gaza boleh dibangunkan semula, ada pandangan sinis yang mengatakan bahawa keganasan tidak boleh dihindari dan akan berlaku lagi.

Ini akan berterusan kecuali semua pihak bersedia untuk bertolak-ansur dan menghindari keganasan.

Dalam hal itu, Singapura ulas Dr Balakrishnan mengalu-alukan usaha dari negara-negara di rantau itu seperti Mesir dalam mengukuhkan usaha gencatan senjata di Gaza dan menyelaraskan rundingan antara pihak-pihak relevan.

SINGAPURA KOMITED SOKONG PALESTIN DALAM PEMBANGUNAN KEUPAYAANNYA

Ketiga, Pemerintah Singapura akan terus menyokong usaha-usaha pembangunan keupayaan oleh Penguasa Palestin.

Ia juga telah menyalurkan dana sebanyak $10 juta di bawah Program Bantuan Teknikal Dipertingkat (ETAP).

Sejak dimulakan pada 2013, ETAP sudah menganjurkan lawatan pembelajaran dan program latihan bagi lebih 500 pegawai Palestin.

Ini sejajar dengan bidang keutamaan pihak berkuasa Palestin seperti pentadbiran awam, pembangunan ekonomi dan pembangunan bandar.

Singapura juga telah menaja para siswazah Palestin dalam pengajian ijazah possiswazah di universiti-universiti tempatan.  

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan