Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Singapura alu-alukan keputusan Malaysia teruskan Laluan RTS JB-S'pura

Singapura mengalu-alukan keputusan Malaysia untuk meneruskan pembangunan projek Laluan Sistem Transit Laju (RTS), menurut Kementerian Pengangkutan (MOT) pada Khamis (31 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Singapura alu-alukan keputusan Malaysia teruskan Laluan RTS JB-S'pura

Menteri Pengangkutan S'pura Khaw Boon Wan dan rakan sejawatannya dari M'sia semasa adakan lawatan di tapak RTS. (Gambar: Jeremy Long)

Diterbitkan : 31 Oct 2019 10:50PM Dikemas Kini : 31 Oct 2019 10:55PM

SINGAPURA: Singapura mengalu-alukan keputusan Malaysia untuk meneruskan pembangunan projek Laluan Sistem Transit Laju (RTS), menurut Kementerian Pengangkutan (MOT) pada Khamis (31 Okt).

Komen tersebut menyusuli pengumuman Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad semasa sidang media hari ini bahawa projek tersebut akan diteruskan dengan kosnya dikurangkan sekitar sepertiga.

Pengumuman itu menamatkan ketidaktentuan selama berbulan-bulan berhubung perjanjian itu. Mei lalu, Singapura dan Malaysia bersetuju untuk menggantung kerja-kerja ke atas laluan RTS sehingga 30 September.

Laluan tersebut dijangka mengatasi masalah kesesakan di Koswe dan Linkedua.

Sebagai sebahagian perjanjian untuk menggantung projek itu, Malaysia bersetuju membayar S$600,000 sebagai kos penggantungan.

Pada September tempoh tersebut dilanjutkan sebulan ke 31 Oktober tanpa kos tambahan.

"Singapura mengalu-alukan keputusan Malaysia untuk meneruskan projek ini," menurut MOT dalam satu kenyataan media pada Khamis malam.

"Kedua-dua pihak kini merundingkan perubahan pada projek, yang diusulkan Malaysia untuk mengurangkan kos projek.

"Oleh kerana perubahan memerlukan pindaan pada Perjanjian Laluan RTS, rundingan akan mengambil masa yang lama. Kedua-dua pihak sedang bekerja keras," tambahnya.

Semasa sidang berita beliau, Dr Mahathir menganggarkan projek tersebut akan menelan belanja RM3.16 bilion (S$1.03 bilion), iaitu potongan RM1.77 bilion (S$0.58 bilion) atau 36 peratus berbanding kos asal sebanyak RM4.93 bilion (S$1.61 bilion).

Dalam satu acara berasingan, Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke berkata Malaysia sudah menyerahkan saranan rasmi kepada Pemerintah Singapura dan sedang menantikan Singapura menelitinya sebelum memuktamadkan perjanjian.

Beliau menjelaskan bahawa saranan Malaysia akan mengurangkan kos pembinaan dan menjadikan harga tambang lebih dimampui. RTS akan membawa sehingga 10,000 penumpang sejam. Sistemnya menyerupai LRT di Malaysia.

Encik Loke berkata beliau menjangkakan perjanjian muktamad bagi projek tersebut akan ditandatangani awal tahun depan.

Sumber : CNA/TQ/tq

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa