Singapura akan tangani isu dengan Malaysia secara 'tenang dan membangun': PM Lee
Singapura akan menangani pertikaian bersama Malaysia secara "tenang dan membangun", kata PM Lee Hsien Loong pada Isnin (31 Dis), sambil melahirkan keyakinan generasi baru akan belajar untuk "secara bersama melindungi kepentingan kita sambil hidup secara damai dan muhibah dengan negara-negara jiran".
PM Malaysia Mahathir Mohammad berjabat tangan dengan PM Lee semasa pertemuan di Istana, di luar Sidang Puncak ASEAN pada 12 Nov 2018. (Gambar: Feline Lim/AFP)
SINGAPURA: Singapura akan menangani pertikaian bersama Malaysia secara "tenang dan membangun", kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Isnin (31 Dis), sambil melahirkan keyakinan bahawa generasi baru warga Singapura akan belajar untuk "secara bersama melindungi kepentingan kita sambil hidup secara damai dan muhibah dengan negara-negara jiran".
PM Lee dalam amanatnya sempena Tahun Baru, menggariskan bagaimana negara ini sedang menangani hubungan dengan jiran-jiran terdekat Malaysia dan Indonesia.
Dengan Malaysia, yang membentuk kerajaan baru menyusuli pilihan raya umum pada Mei, Encik Lee akur tentang beberapa isu yang timbul antara kedua-dua negara baru-baru ini "sepertimana kadangkala berlaku antara dua jiran rapat yang berkongsi talian sejarah, ekonomi, budaya dan persaudaraan yang erat".
"Pertikaian-pertikaian baru berhubung sempadan maritim menyusuli pencerobohan provokatif terhadap perairan wilayah kita dan tentang ruang udara khususnya undang-undang Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) bagi Lapangan Terbang Seletar, lebih sukar untuk dileraikan," menurut perdana menteri.
"Malaysia juga ingin menyemak harga air Johor, isu lama yang dibangkitkan semula sedang pendirian Singapura berhubungnya agak jelas."
Tegas PM Lee, kedua-dua negara mesti menangani masalah-masalah khusus, sambil mengekalkan hubungan baik secara keseluruhannya.
Cara untuk melakukannya adalah menerusi kesetaraan dan sikap saling hormat-menghormati serta menegakkan komitmen antarabangsa dan kedaulatan undang-undang, tambah beliau.
Merujuk kepada episod-episod ketegangan dua hala yang lalu, PM Lee berkata warga Singapura yang lebih berusia akan ingat bagaimana mereka bersatu-padu, berpegang pada pendirian secara tenang tetapi tegas apabila menghadapi kesukaran.
"Saya yakin kali ini juga rakyat Singapura akan bekerjasama rapat untuk memastikan hubungan dengan Malaysia kekal mantap dan generasi baru akan belajar untuk bersama-sama melindungi kepentingan kita sambil hidup secara damai dan muhibah dengan negara jiran kita," kata Encik Lee.
Hubungan dengan Indonesia pula "positif" dengan banyak kerjasama dan pelaburan antara kedua-dua negara, menurut perdana menteri.
KETEGANGAN AS-CHINA TIDAK BAIK UNTUK DUNIA
Beralih kepada ehwal antarabangsa secara lebih luas, Encik Lee berkata 2018 adalah tahun yang padat dengan para diplomat dan pegawai Singapura menjulang bendera negara.
Pada Jun misalnya, Singapura merupakan tuan rumah bagi sidang puncak bersejarah antara Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dengan Pengerusi Korea Utara Kim Jong Un, selain menjadi pengerusi ASEAN.
Bagaimanapun PM Lee memberi peringatan bahawa "perkembangan geopolitik ada pasang dan surutnya" dengan merujuk kepada ketegangan hubungan Amerika Syarikat dengan China sebagai menimbulkan keprihatinan.
"Ketegangan ini akan mencetuskan masalah bagi dunia dan menyukarkan negara-negara lain untuk bersahabat dengan kedua-dua negara itu," kata beliau.
"Jika negara-negara terpaksa memihak, penyebaran kuasa sejagat yang terbuka dan terhubung akan semakin berpecah-belah, menyakiti semua pihak."
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.